Sunday, August 23, 2009

Senja tidak merah lagi ...

Keindahan yang hilang. Hilang dari pandangan. Hilang dari realiti alam yang dijadikan serba indah, serba sempurna untuk seluruh kehidupan. Natijahnya, sejak kesekian kalinya Sungai Kurau mengalir lesu, mengheret suka duka kehidupan sepanjang zaman. Segala macam bau busuk, hanyir dan tengik silih berganti terbaur dalam satu wajah yang cukup mengharukan. Tiada lagi suara cengkerik, apatah lagi wajah girang sang berudu atau kelibat helang laut yang saling berkejaran memburu mangsa di muara. Segalanya tiada. Segalanya hilang dari pandangan mata Ayah Aji.
“Ayah Aji, tak jemu-jemu ke sini?” sapa YB. Bakar yang sejak tadi memerhati.
“Ya … bersama Ayuni. Hanya Ayuni yang cukup faham … hanya Ayuni yang cukup mengerti!” Ayah Aji bersuara lembut tetapi sarat makna. YB. Bakar sekadar tersenyum, mengangguk sebagai tanda melayani kerenah Ayah Aji. Entah berapa kali Ayah Aji mengulangi ayat skema seperti itu.
“Ayah Aji ni benar-benar dah nyanyuk …” YB Bakar membuat rumusan mudah. “Sudah lebih sepuluh tahun Ayuni kembali kerahmatullah. Ayah Aji tidak pernah menerima hakikat itu. Kematian,” YB. Bakar mendengus sendirian melahirkan rasa kesalnya akan tragidi yang menyayat hati itu. “Kematian? Bukankah yang mati itu jasadnya? semangatnya ... perasaannya ... hati nuraninya ... kasih sayang ... kecintaan ...masih hidup? Bahkan, kita yang hidup ini sepatutnya mengambil pengajaran daripadanya ... kematiannya, kerana kesilapan kita ... salah perhitungan dan pertimbangan kita!” Ayah Aji bagaikan menyampaikan khutbah, bertalu-talu mengemukakan pandangannya untuk sesiapa sahaja yang cuba memperkatakan soal kematian Ayuni. Ayuni, satu-satunya anak kesayangan Ayah Aji, amanah Illahi untuknya. Mati., kononnya kerana keracunan. Siapa yang meracunnya, kalau bukan mereka yang rakus? Mencemarkan alam anugerah dan amanah Allah untuk ummat manusia sejagat. Mencemarkan sungai, sebenarnya mencemarkan diri manusia itu sendiri.
“Ya… hanya Ayuni faham … lembayung senja … warna keemasan … kehidupan. Huh … sungguh indah kehidupan Ayuni … Ayuni … esok kita ke sini lagi ye?” Ayah Aji meracau. Lembayung senja, seperti biasa cukup setia, saban senja kembali menghiasi dada lautan, mentari dan kaki langit. Segalanya mengadun warna, warna kehidupan. Cuma sejak belakangan ini warnanya semakin suram, sesuram hidup Ayah Aji tanpa Ayuni.
“Tapi … Ayuni sudah lama pergi … Ayuni sudah lama meninggalkan kita … Ayuni dah mati!”
“Sapa kata Ayuni mati? Yang mati itu jasadnya! Ayuni tetap bersama aku. Ayuni tak mati, Ayuni macam lembayung senja dan mega merah keemasan itu ... sentiasa setia akan janjinya … hadir dan akan terus hadir!”. Ayah Aji mempertahankan. “Paling penting ... Ayuni tetap setia menanti di pengkalan ini, menanti dan terus menanti sehingga tiba saatnya, aku kembali bersamanya”. Ayah Aji sebagaimana selalu mengulangi ayat skema itu.
“Esok kita datang lagi tauu!”.
“Yalah …!”
“YB tak kerjakah?”
“ …kerja!”
“Kalau kerja … tak payahlah ke sini lagi … pergi kerja. Hah kerja … bersihkan sungai. Tanggungjawab kita. Tanggungjawab semua. Ayuni saja yang cukup faham … warna suram itu kelam, warna kelam itu jeram … sungai lesu … sungai tepu … sarat … sisa kehidupan … tak gitu YB ..ya .. ya .. Yang Berhormat Bakar”, ujar Ayah Aji lancar, semacam menyindir.
YB. Bakar termanggu sendirian. Kata-kata Ayah Aji sarat makna. Kata-kata Ayah Aji mewakili suara ramai. Suara rakyat, suara pengundi dan suara masyarakat seluruhnya. YB. Bakar juga cukup mengerti. Ayah Aji orang tua di kampung ini. Ayah Aji cukup dihormati dan disegani. Pendapat Ayah Aji jarang disanggah, apatah lagi untuk diketepikan begitu saja.
“Entah apa jadahnya … sungai ini mengalir lesu … bau hanyir, tengik menghantui … tiba-tiba saja jeti penambang ini pula nak dirobohkan … hiss tak masuk akal langsung!” Ayah Aji cuba mencari kepastian. Mempertahankan sesuatu yang difikirkan perlu untuk warisan, generasi akan datang.
“Salah kita juga … sungai ni macam bakul sampah … telan semua, serba serbi!... jeti ini perlu dirobohkan, kita bina jambatan … kalau ada jambatan kan senang … yalah, untuk kemudahan orang kampung juga!”, YB. Bakar cuba memberi jawapan.
“Siapa kita … Ayuni? Ayah Aji? Lembayung Senja? … tidak. Kami cukup setia. YB jangan nak buat serkap jarang!”
“Inilah masalahnya .. tidak semua macam Ayuni, Ayah Aji dan lembayung senja … setia. Masalahnya kita …!”
“Lagi-lagi kita … lagi kita … bukan kita. Mereka!” Ayah Aji membetulkan.
“Yelah tu … mereka tidak bertanggungjawab membuang segalanya … mereka mengotorkan sungai ini!”
“Bukankah sungai ini … sungai mereka dan sungai kita. Sungai ini cukup setia. Ayuni tahu itu … Ayuni cukup faham … Ayuni macam lembayung senja!... faham dan mengerti”
“Udahlah tu … Ayah Aji… dah malam ni … kita balik!”, YB. Bakar mohon penuh sopan. Ayah Aji mengangguk puas. Warna keemasan lembayung senja mulai pudar, warna samar dari kegelapan malam yang selamanya cukup setia melenyapkan segalanya. Ayuni hilang dalam kegelapan malam itu…hilang bersama lembayung senja. Ayah Aji tahu itu.
“Nak buat jambatan konon, bukan berapa orang sangat nak lalu jambatan tu … berkereta … hanya YB sahaja yang berkereta, kami semua pejalan kaki … basikal pun tak ada, bukankah gila namanya tu?” Ayah Aji berhujah.
“Yelah .. Ayah Aji …tapi penduduk di sini akan bertambah. Ayuni tu, anak Ayah Aji akan membesar, berumah-tangga dan beranak pinak. Seha, Sudin, Timah dan Temah akan berkeluarga - bersuami, beristeri dan beranak. Mereka pewaris segala … mereka bakal mewarisi dan menggunakan jambatan itu!, kini giliran YB. Bakar pula berhujah. Keputusan yang telah dibuat kerajaan tidak boleh dipersenda begitu.
“Juga mewarisi sungai yang mengalir lesu itu .. begitu maksud YB?” Ayah Aji cuba menguji.
“Sungai itu lain … jambatan itu lain!”
“Tapi … kedua-duanya, malah semuanya ada kaitan dengan sungai itu, penduduk kampung, nelayan pantai, lembayung dan laut itu, termasuk ikan, udang, sotong dan ketam … semuanya sungai itu … mengenai sungai itu dan paling penting mengenai kehidupan kita!” Ayah Aji petah mengemukakan pendapatnya. Secara kebetulan media televisyen yang ditontonnya sejak kebelakangan ini menyatakan semua itu. Ayah Aji hanya mengulangi semula segala yang didengarinya dalam susunan ayat yang paling mudah. YB. Bakar terasa tercabar. Fikiran mudanya tidak mampu menyaingi hujah Ayah Aji.
“Sudahlah …Ayah Aji … itu semua keputusan kerajaan!”, YB. Bakar cuba mematikan perbalahan yang dianggapnya sia-sia.
“Sudah mendenya … jambatan itu tak siap lagi, terbengkalai, khabarnya pemaju lari … hah sungai tu semakin lesu … jambatan yang tak siap itu dah halang arus sungai, air sungai berkeladak, berbau busuk … ikan, udang, sotong dan ketam banyak yang mati … keracunan agaknya, macam Ayuni, macam Joyah dan mungkin macam YB dan macam aku satu hari nanti!” Ayah Aji tersendu mengenang nasib Joyah, nasib Ayuni.
“Udahlah tu … Ayah Aji. Semuanya taqdir illahi … ada hikmahnya!”
“Itu bukan taqdir namanya. Kita yang mengusahakannya … kita yang menjadikannya begitu … sungai itu, jambatan itu kita yang menjadikannya begitu, kita boleh elak, sungai itu kita boleh kawal. Kita cuai … ini semua kerana kecuaian kita.”
“Esok, kita ke sini lagi ye!” Suara Ayuni manja, mengajuk watak iklan pizza di televisyen yang amat diminatinya. “Ayah, esok ke sini lagi ye!,” ulang Ayuni setelah menyedari permintaannya tadi tidak mendapat perhatian.
“Yelah tu … esok kita ke sini lagi … esok saja tau!,” Ujar Ayah Aji manja. Ayuni tersenyum puas. Ayah Aji cukup tahu, Ayuni pasti mengharapkan agar imbasan warna mega dari lembayung senja secara berterusan akan menghiasi indah muara Sungai Kurau. Ayuni akan sentiasa merindui lembayung senja.
Esok dan hari-hari berikutnya, Ayah Aji dan Ayuni bagaikan sepasang kekasih akan mengunjungi jeti kayu di muara Sungai Kurau. Tiada lain, selain melepaskan kerinduan yang amat sangat akan lembayung senja, merah keemasan menghiasi wajah ceria kehidupan.
Sungai Kurau mengalir lesu. Hanya sesekali kelihatan baung menyapa lemah. Lemas dalam tepu air sungai sarat menyeret bahan sisa yang beragam. Sesekali tersadai dan terdampar di pinggir, sesekali hanyut ke tengah melewati antara tiang teratak berceretek di kiri kanan sungai sehingga ke muara, mengapung di permukaan laut lepas.
Laut itulah. Laut itulah, anugerah Illahi, yang telah sekian lama menabur bakti kepada Ayah Aji dan rakan-rakannya. Sejak sekian lama, ikan, udang, ketam dan sesekali sotong menjadi tangkapan lumayan Ayah Aji dan rakan-rakan.
“Banyak dapat hari ini?” Ayuni, seperti selalu menyapa pantas sebaik sahaja sampan kolek Ayah Aji menghampiri jeti. Mendarat.
“Ada sikit … Ayuni mesti suka … cuba teka?”
“Alah … mesti sotong kan?” Ayuni tersenyum. Sejak sekian lama, Ayah Aji, dalam keadaan bagaimana sekalipun akan membawa pulang sotong untuknya. Kalau tak dapat sotong, Ayah Aji akan minta sotong dari kawan-kawannya. Hanya untuk Ayuni. Ayuni mesti dipuaskan kehendaknya. Ayuni pewaris segalanya. Kesengsaraan.
Makan malam itu cukup ceria. Ayuni kelihatannya terlalu berselera menjamah nasi berlaukkan sotong. Seperti selalu Ayuni meratah lahap sotong goreng masak kicap seekor demi seekor sehingga selesai.
“Ayuni kenyang ke makan malam ni?”
“Mestilah … tengok tu tak ada lagi … dah habis!” ujar Ayuni puas. Ayah Aji tersenyum. Biar Ayuni diberi makan secukupnya. Ayuni mesti segera membesar. Tidak boleh tidak. Ayuni mesti membesar di depan matanya. Selagi Ayah Aji hidup … Ayuni perlu dipelihara seadanya. Ayah Aji menghitung-harap, berkira-kira akan nasib masa depan Ayuni yang semakin tidak menentu. Usia lanjut Ayah Aji membuat Ayah Aji sentiasa resah. Usia delapan puluhan bagi Ayah Aji sudah terlalu tua untuk menyara kehidupan Ayuni yang baru berusia setahun jagung. Ayuni pastinya belum bersedia untuk hidup sendirian. Tempoh sepuluh tahun kehidupannya, masih terlalu awal baginya untuk memahami perencah, asam garam kehidupan. Sepuluh tahun itulah, Ayah Aji menjadi ibu dan bapa kepada Ayuni. Sejak Joyah, isterinya mati. Kata doktor, Joyah mati kerana keracunan!
Siapalah yang tergamak meracun Joyah? Tak mungkin Joyah bunuh diri? Joyah orang kuat agama. Joyah keturunan orang alim. Tak mungkin? Tapi doktor sendiri yang mengesahkan bahawa kematian Joyah kerana keracunan. Tak berani pula Ayah Aji bertanya selebihnya. Segalanya taqdir … agaknya ajal Joyah memang ditentukan sedemikian rupa. Ayah Aji pasrah.
“Uwekkk!”
“Ayuni!”
“Ayah … tolong ayah … ssss sss sakitttt … uwekkk!”
“Ayuni …kenapa nak!?” Ayah Aji cemas. Ayuni tersepuk longlai di ribaannya. Sisa muntah Ayuni selambak di atas lantai, kekuningan. Bau hanyir menyelubungi seluruh ruang dapur pondok buruk yang sejak sekian lama menjadi tempat Ayah Aji dan Ayuni berleindung dan berteduh. Tengik … berbaur dengan bau busuk dari Sungai Kurau di jeti penambang siang tadi.
“Uweekkk!”
“Ada apa nak? Kenapa nak?...” Ayah Aji cuba mencari jawapan. Mungkinkah Ayuni juga keracunan? Ayuni diracun orang?. Bukankah … Joyah dulu…Ya… Joyah dulu muntah-muntah, Joyah dulu keracunan. Ayuni keracunan!
“Uweekkk!”
“Ayuni!” Ayah Aji semakin resah, gelisah dan gelabah. Peluh dingin mencurah-curah membasahi dahi, mengalir turun ke muka dan kini seluruh tubuh Ayah Aji dibasahi peluh dingin. Wajah Ayuni dan wajah Joyah membayang silih berganti mengisi ruang dalam benak, fikiran Ayah Aji. Joyah keracunan. Ayuni keracunan. Joyah mati. Ayuni ….?
Tidak!. Tidakkkk! … Ayuni tidak boleh mati. Ayuni mesti diselamatkan. Ayah Aji bertekad. Ayuni mesti diselamatkan. Ayuni mesti diberi rawatan segera. Ayuni mesti dihantar ke klinik di seberang sana. Feri? Sampan kolek? Ayah Aji berlari ke hulu dan ke hilir dalam ruang tamu pondoknya, menghitung cara terbaik untuk menghantar Ayuni ke seberang!
Feri?. .. mana ada feri malam-malam buta macam ni… Sampan kolek?... alahai … jambatan …jambatan tak siap lagi … binaan jambatan banyak yang tergendala. Pembinaan jambatan mendapat tentangan penduduk setempat. Ayah Aji sendiri menentangnya. Kerja membazir. Lagi pun pembinaan jambatan itu terpaksa melalui tanah, tapak pondok buruknya. Tanah tempat dia dan Ayuni menumpang teduh. Tanah haram. Hanya itu yang Ayah Aji ada. Hanya itu yang perlu dipertahankan!
“Ayah Aji … Ayah Aji akan dibayar ganti rugi … Ayah Aji tanda tangan saja borang ini. Ayah Aji akan dibayar ganti rugi … Ayah Aji boleh cari penempatan lain yang lebih selesa …jambatan ini perlu untuk orang kampung!,” YB. Bakar membujuk.
“Tidak …projek tu membazir. Ramai lagi orang miskin macam aku ni kerajaan mesti bantu … pi buat jambatan tu buat apa? Membazir!” sergah Ayah Aji keras.
“Uweekkk!”
“Ayuni? …Ayuni … bersabar nak … bersabar. Kita akan ke tanah seberang. Ayuni akan dirawat … Ayuni akan selamat!”
“Tak usahlah … ayahhhh … Ayuni nak jumpa makkk. Ayah kata Mak mati macam ni … mak muntah-muntah …mak mati makan sotong … Ayuni mati makan sotong …”
“Ayuni …Ayuni … jangan cakap macam tu nak … Ayuni mesti selamat … Ayuni mesti selamat!”
“Toloooooooooong….!” Jerit Ayah Aji memecah keheningan malam.
“Toloooooooooong….!” Ayah Aji menjerit terus. Tubuh Ayuni di ribaannya terasa semakin longlai.
“Toloooooooooong….!” Jerit Ayah Aji lagi. Kali ini Ayah Aji benar-benar merasai kehilangan. Tubuh tinggi lampai Ayuni tidak bermaya lagi. Ayuni telah menjejaki ibunya, Joyah. Ayuni pergi. Mengulangi sejarah sebuah kehidupan. Ayuni pasti keracunan. Ayah Aji merumuskan.

No comments: