Wednesday, July 11, 2012

DBP

SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﻤﺒﻭڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒﻭڠ Hanya Sulap: Selamat Hari Guru 2011

SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﻤﺒﻭڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒﻭڠ Hanya Sulap: Selamat Hari Guru 2011: “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”. “Semakin terpencil duduknya di ceruk desa, semakin bererti tugasnya tugasnya kepada negara.”...

SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﻤﺒﻭڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒﻭڠ Hanya Sulap: Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini

SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﻤﺒﻭڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒﻭڠ Hanya Sulap: Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini: Huruf lam-alif ialah huruf gabungan alif dengan lam . Jadi, lam alif tidak sesuai disenaraikan dalam carta huruf Jawi bentuk tunggal. Ha...

SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﻤﺒﻭڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒﻭڠ Hanya Sulap: Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad

SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﻤﺒﻭڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒﻭڠ Hanya Sulap: Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad: Pautan yang berkaitan: Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman Senario Dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” terdapat episod Cikgu Ros m...

Friday, June 1, 2012

Kesusasteraan adab, warisan tidak tertera: melestari akal budi, bahasa dan bangsa Melayu


1.0          Pengenalan
Program martabat bahasa Melayu sebenarnya perlu mengambil langkah proaktif, mengusahakan sedapat mungkin, melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang lebih berkeupayaan membantu dan merangsang ketajaman penaakulan minda, yang mampu menguji daya kreativiti dan inovasi, dan mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan murid dalam dan luar bilik darjah. Sehubungan dengannya, guru bahasa Melayu selain perlu mengusai aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, perlu pula memahami aspek ‘ekosistem’ yang menjadi wadah, tumbuh dan berkembangnya aspek kebahasaan bahasa Melayu itu sendiri. Hal ini penting kerana selain berkeupayaan mempelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, seseorang guru bahasa Melayu boleh memanfaatkan seluruh ruang dan peluang, mengoptimumkan keupayaan penguasaan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid-murid di sekolah.

‘Bahasa’ dalam kalangan orang Melayu tidak sekadar verval, terkandung dalamnya aspek-aspek adab yang cukup menentukan  hal-hal yang berkaitan dengan jati diri bahasa, budaya dan bangsa yang mendukungnya, bangsa Melayu.  Dalam hal yang demikian, segala hal yang berkaitan dengannya turut saling berkaitan membentuk ekosistem bahasa, yang kemudiannya membentuk entiti tamadun dan peradaban yang begitu unggul di kepulauan Melayu. Ekosistem itulah yang sebenarnya menjadi pembentung tempat tumbuh dan berkembangnya aspek kebahasaan dalam kalangan orang Melayu. Justeru, usaha untuk memperkembang dan memperkukuh aspek kebahasaan, ekosistem bahasa itu sendiri perlu diperkemas, diperkembang dan diperluaskan sebarannya agar wujud situasi yang saling menyokong di antara kedua-duanya, yakni bahasa dan ekosistem bahasa.
Analoginya mudah, bahasa sebagai alat pertuturan. Bahasa itu perlu dituturkan oleh penuturnya. Dengan demikian ‘bahasa’ itu boleh wujud hanya kerana ada penutur yang bersedia menuturkannya. Dengan demikian, ‘bahasa’ itu akan menjadi lebih mudah untuk tumbuh dan berkembang sekiranya ada kesediaan penuturnya untuk menuturkan bahasa bagi memenuhi tujuan tertentu. Soal sama ada seseorang penutur itu bersedia menuturkan bahasa berkenaan atau sebaliknya, mempunyai hubung kait dengan soal jati diri penutur berkenaan dan keupayaan bahasa itu menjadi media penyampai yang berkesan. Maka, bagi maksud memperkembang dan memperkukuh bahasa, soal jati diri bangsa yang menjadi penuturnya, serta media yang menjadi medium untuk menyampaikan isi kandungan pertuturan itu mesti turut diperkembangkan.
Sejak awal mula tumbuhnya sistem ejaan dan tulisan Jawi dalam tradisi berbahasa Melayu, yang kemudiannya bahasa Melayu menjadi lingua franca, tradisi penulisan dan persuratan, fikiran dan pemikiran Melayu turut tumbuh dan berkembang ‘meriah’ di Alam Melayu. Paling menakjubkan sebelum orang Melayu mengenali sistem tulisan, bahasa begitu ampuh tumbuh dan berkembang dalam tradisi lisan sehingga daripadanya berkembang beberapa genre kesusasteraan tradisional Melayu yang tiada tolok bandingnya. Antara lain, pantun selain rangkaian puisi lainnya merupakan antara contoh terbaik yang diperakui lahir daripada fikiran dan tradisi pemikiran yang amat genetik sifatnya, dalam kalangan orang Melayu. Melaluinya, aspek adab yang menjadi tunjang pembentukan jati diri dalam kalangan orang Melayu terus diperkukuh melalui hasil kesusasteraan tradisional Melayu.
Sejarah berkembangnya tamadun dan peradaban di Alam Melayu membuktikan sifat keterbukaan dalam kalangan orang Melayu membolehkan segala yang baharu (termasuk apa yang dikatakan moden) itu diadaptasi melalui proses penyerapan: asimilasi dan akomodasi. Dengan cara demikian unsur-unsur asing yang terkandung di dalamnya dilenyapkan, sehingga kemudiannya membentuk identiti Melayu.Dengan hal yang demikian, masalah khalayak yang pelbagai bukanlah halangan mutlak yang beroleh mengekang tumbuh dan berkembangnya tradisi berbahasa  dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini, bahkan juga di kepulauan Nusantara seluruhnya.

2.0          Definisi konsep
2.1          Kesusasteraan adab

Membincangkan soal kesusasteraan adab, perihal ‘kesusasteraan’ dan ‘adab’ itu hendak dirujuk sebagai sesuatu entiti yang saling menyumbang, iaitu ‘kesusasteraan’ dilihat sebagai segala bentuk genre sama ada yang bertulis atau tidak bertulis (lisan), puisi atau prosa; lantaran fungsinya ang bersifat didaktik,  isi kandungannya  sangat menyumbang ke arah menyuburkan ‘adab.’ Demikian juga sebaliknya, ‘adab’ sebagaimana adanya diperaku secara kolektif sebagai sesuatu yang cukup bermakna akan terus diperkukuh melalui pelbagai genre kesusasteraan. Dengan memberi penekanan kepada makna dalam konteks yang disebutkan, aspek keindahan dan kebenaran dalam ‘kesusasteraan’ dan ‘adab’ tidak dipisahkan, sebaliknya dilihat sebagai suatu entiti yang saling membentuk. Prof. Ismail al-Faruqi, rahimahullah, telah menggambarkan keadaan ini dengan tepat dan jelas dalam kutipan berikut:
Dalam keadaan tunggal bersendirian, perkataan adalah kosong dan tidak bermakna. Perkataan dikurniakan dengan sifat berkecuali yang memudahkannya diubah suai untuk sebarang kegunaan, dan pengarang yang bijak seharusnya memanfaat­kannya. Perkataan, setelah disusun, berkemungkinan menjadi indah, tambahan pula apabila digandingkan dengan idea-idea yang indah. Semakin tinggi nilai isi, semakin indah susunan kata. Semakin rendah nilai isi, maka semakin lemahlah susunan kata.
Dari satu segi, isi kandungan adalah kaku dalam keadaan yang tersendiri. Nilai atau keagungannya tersembunyi, tetapi "ben­tuk", iaitu susunan kata yang baik akan menyerlahkan kein­dahannya sehingga dapat dihayati. Tanpa bentuk yang baik, yakni apabila dilahirkan dengan gaya ungkapan yang tidak me­narik, isi kandungan akan kehilangan daya tarikannya. Gam­baran sesuatu keindahan itu bukanlah satu keindahan sehing­galah ia dikecapi. Walaupun nilai idea-idea yang baik tidak pernah berkurang sampai ke tahap kosong, tetapi "bentuk" boleh mengurangkan nilainya dengan menjadikannya "mati", tidak dihargai, dan "tawar" apabila dipersembah dalam si­tuasi yang tidak kena. Apabila dilengkapkan dengan "bentuk" yang sebaik-baiknya, isi kandungan akan mudah difahami dan dihayati. Dalam hal ini, isi kandungan menggunakan kekuatan­nya untuk mendorong, menginspirasi dan menggiatkan daya tanggapan seseorang. Mutu dan keindahannya akan meman­carkan kegemilangan yang sejati dan tulen. Sesungguhnya "bentuk" yang indah bertindak secara misteri terhadap isi kandungannya dengan cara menampilkan satu daya tarikan. Apabila pada masa yang sama, isi kandungan saling bertindak terhadap bentuk berjaya menampilkan daya tarikannya sendiri, maka keindahan isi kandungan akan melebihi keindahan bentuknya.
Perkaitan antara bentuk dan isi kandungan tidak statik, tetapi dinamik. Apabila bentuk diberi kepada isi kandungan, kedua­-duanya tidak akan kekal dengan sifat asalnya, dan setiap satu saling menampilkan keindahan yang lain. Hasilnya selalu memberikan kesan yang lebih istimewa, mendalam, menyentuh perasaan dan berkekalan. Kesan, iaitu hasil daripada kefahaman yang ditentukan oleh penilaian akal, mempengaruhi sikap dan akhirnya merintis ke arah tindakan yang berkesan. Dengan ini, akan tercapailah matlamat-matlamat kesemua komunikasi. Inilah yang menjadi objektif muktamad seni kesusasteraan. Sama ada kesan itu besar atau kecil, bergantung kepada hasil tindakan gabungan bentuk dan isi kandungan. Ukuran keberkesanan bukanlah terbit daripada salah satu daripada kedua-dua faktor tersebut, dan nisbah sebenar daripada setiap satunya tidak akan dapat dinilaikan. Tetapi, ukuran keberkesanan yang sebenarnya ialah hasil penghayat­annya, yakni tahap mendalamnya keinsafan yang dialami atau mendalamnya penglibatan penerimanya. Idea-idea yang hebat dan dilahirkan dengan sempurna akan menjadi satu daya tarikan yang mengagumkan. la berupaya meyakinkan dan mengubah pertimbangan seseorang malahan boleh menginsaf­kannya sehingga berlakulah suatu perubahan.
Mohd. Affandi Hassan (1992:  10-11)
Sehubungan dengannya, susunan kata yang membentuk pelbagai genre kesusasteraan akan terus kekal sebagai adanya[1], melainkan jika ia dimaknakan dan dihayati isi kandungannya sebagaimana sepatutnya. Dengan hal yang demikian, aspek ‘adab’ yang menjadi bahan yang dipersembahkan dalam pelbagai genre kesusasteraan akan ‘kaku’ dan ‘beku’ tanpa makna. Misalnya:
                          Pisang emas dibawa belayar
                                Masak sebiji di atas peti
                          Hurang emas boleh dibayar
                                Hutang budi dibawa mati.

Pantun di atas tidak lebih sekadar himpunan kata-kata: ‘pisang, emas, dibawa, belayar, masak, sebiji, di atas, peti, hutang, emas, boleh, dibayar, budi dan mati’ yang secara terpisah tidak mengandungi entiti makna sebagaimana sepatutnya.  Demikian juga, pantun ini tidak mengandungi apa-apa makna, jika sekadar menghuraikan bentuknya secara berpisah-pisah, antaranya pantun ini mempunyai pembayang dan maksud, suku kata akhirnya a, b, a, b; jumlah suku kata bagi setiap baris antara 8 – 12, terdapat jeda tengah bagi setiap baris. Demikian juga, pantun ini masih tidak mendokong makna yang khusus, sekalipun maknanya dinyatakan secara tepat, yakni manusia yang berbudi akan sentiasa dikenang dan diingati. Pantun ini hanya akan menjadi lebih bermakna sekiranya aspek ‘budi’ yang menjadi intipati maknanya benar-benar dihayati dalam kalangan masyarakat. Soalnya, penghayatan yang bagaimana? Apakah memadai, bagi maksud penghayatan murid-murid hanya diminta untuk menjawab beberapa soalan kefahaman, menyatakan ciri atau makna perkataan tertentu? Bagaimanakah dengan aspek perubahan tingkah laku lain yang lebih bermakna? Bagaimanakah pula aspek keupayaan daya fikir murid, pemikiran kritis dan kreatif boleh dikembangkan melalui pantun ini? Segala-galanya menjadi mungkin boleh dikembangkan sekiranya aspek ekosistem kemahiran berbahasa yang menjadi wadah tumbuh dan berkembangnya tradisi berpantun ini dapat dieksploitasi sepenuhnya bagi tujuan meningkatkan pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan kecekapan berbahasa dalam kalangan murid-murid.
Seperkara yang menarik, aspek ‘adab’ yang terkandung dalam pelbagai genre kesusasteraan tradisional Melayu sama sekali berbeza dengan konsep moral yang cuba diketengahkan dalam pelbagai aliran fikiran dan pemikiran muktahir zaman ini. Dalam kalangan orang Melayu amat menghargai nilai budi dalam kehidupan seharian mereka. ‘Budi’ dimaknakan sebagai (1) akal, kebijaksanaan; (2) perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan, watak; (3) sifat baik, perbuatan baik, kebajikan; dan (4) bicara, daya upaya (Kamus Dewan, 2005: 212).  Setelah menerima Islam sebagai agama, konsep ‘adab’ yang tersedia ada dan tumbuh dalam kalangan masyarakat Melayu terangkat, ‘mematutkannya’ dengan apa-apa sahaja yang ditentukan oleh syariat selaras dengan konsep: ‘hidup bersendikan adat, adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah.’  Bahkan berdasarkan tradisi Islam, adab dihuraikan sebagaimana berikut:
Perkataan adab berasal dari perkataan Arab bererti kesopanan, tingkah laku yang baik, kehalusan budi bahasa dan tatasusila.  Secara umum kata adab bermaksud akhlak yang baik atau budi pekerti yang mulia. Peringkat awal Islam, kata adab bererti akhlak yang baik,  pengajaran dan pendidikan yang baik.  Pada zaman Kerajaan Abbasiah, perkataan ini bermaksud semua ilmu pengetahuan yang dihasilkan oleh umat manusia, tatacara yang mesti diikuti dalam sesuatu disiplin ilmu, tatacara atau aturan atau etika sesuatu pekerjaan.  Dalam konteks penggunaannya, secara umum merujuk kepada etika atau tatacara yang baik untuk melakukan se­suatu pekerjaan sama ada ibadah ataupun muamalah sesuai dengan tuntutan Al-Qurān dan al-Hadith. Adab-adab tertentu yang dimaksudkan, seperti adab memberi salam, adab meminta izin memasuki sesebuah rumah, adab berjabat tangan dan berpelukan, adab hendak tidur, adab bangun tidur, adab duduk, berbaring dan berjalan, adab bersin dan menguap, adab makan dan minum, adab berzikir, adab masuk tandas, adab mandi, adab wuduk, adab sebelum dan ketika melakukan solat, adab imam dan makmum, adab menuju masjid, adab di dalam masjid, adab Jumaat, adab puasa, adab berkumpul, adab guru, adab murid dan lain-lain.  Abu Bakar al-Jazairi dalam kitab Minhāj al-Muslim merumuskan 14 adab muslim terhadap Tuhan, Nabi Muhammad SAW, sesama manusia, dan terhadap diri sendiri. Adab-adab tersebut ialah: (1) adab berniat; (2) adab terhadap Tuhan; (3) adab terhadap Al-Qurān; (4) adab terhadap Rasulullah SAW; (5) adab terhadap diri sendiri seperti taubat, murāqabah (pengawalan), dan mujāhadah (perjuangan); (6) adab sesama makhluk yang terbahagi kepada: adab-adab terhadap kedua-dua orang tua, anak-anak, saudara-mara, suami isteri, kaum kerabat, jiran-jiran, sesama Islam, orang kafir, dan binatang; (7) adab persaudaraan (ukhuwwah), cinta dan benci kerana Allah SWT; (8) adab duduk dan menghadiri majlis pertemuan; (9) adab makan dan minum; (10) adab bertemu; (11) adab berkunjung; (12) adab berpakaian; (13) adab semula jadi (fitrah); dan (14) adab tidur.

Sumber: (Ensiklopedia Islam (2004a)
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm 58 – 59

Dengan demikian aspek akal, budi, pekerti dan bahasa sering terangkum sama ada dalam ungkapan: budi pekerti, budi bahasa, akal budi, budi bicara atau dalam pepatah: ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa!’ dan seumpamanya. Hal ini yang sering diungkapkan dalam tradisi penulisan dan  persuratan Melayu yang sedikit sebanyak memberi gambaran dan seruan ke arah kebaikan. Kebanyakan pantun Melayu misalnya, merakam usaha-usaha ke arah membentuk manusia yang sempurna. Nilai sebenar yang dikatakan orang bagi orang Melayu ialah mereka yang bersedia untuk berbudi sebagaimana pantun berikut:

                          Di sini padi di sana padi,
                                Baru bernama sawah dan bendang;
Di sini budi di sana budi,
      Baru sempurna menjadi orang.
            Tingginya martabat budi, paling menarik dalam konteks bahasa, aspek “adab,” “budi” dan “bahasa” itu mempunyai hubungan unik sebagaimana yang terkandung dalam pantun popular dalam kalangan masyarakat Melayu dirakamkan dalam rangkap puisi berikut:
Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa.
Demikian unik dan murninya hubungan antara “budi” yang dianggap cantik dan “bahasa” yang dianggap indah[2] sebagaimana digambarkan dalam puisi tradisional Melayu berkenaan. Malahan, dalam konteks budaya, aspek berbudaya sering dihubungkan dengan perihal “budi” dengan “daya,” yakni upaya bagi tujuan menjelaskan hubungan “budi” dengan amalan dan keupayaan akal yang bersifat material dan kerohanian yang diseimbangkan secara teratur, beradab, bersopan dan bijaksana; manakala “bahasa” yang berkaitan dengan tutur kata dan tingkah laku diletakkan pada paras yang setara, sama nilai dan penting, saling membentuk peribadi, peradaban dan tamadun dalam kalangan masyarakat tradisional Melayu seluruhnya (Mana Sikana, 2005: 131).Dengan demikian, konsep adab tidak sekadar apa yang dizahirkan, sebaliknya turut menyerap dan membentuk keperibadian secara kerohanian dalam kalangan masyarakat Melayu. Siti Zainon Ismail: http://kakiseni.com/) mengungkapkan perkara yang sama secara kreatif melalui pantun berikut:
Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis
         Lebih manis hati budinya.
Bandar baru Seberang Perai
         Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan tulang berkecai
Budi yang baik dikenang juga.

Keindahan fizikal menurut persepsi orang Melayu hanya berfungsi sebagai perantara untuk dilihat dan dipandang menarik, “Dilihat manis dipandang manis,”  sebaliknya apa yang lebih murni dan sentiasa diberi keutamaan ialah nilai kerohanian, kehalusan jiwa, kesopanan tingkah laku dan berpekerti mulia. Dengan demikian,  setelah keindahan fizikal itu musnah, yakni “Hancur badan tulang berkecai,” keindahan akal budi akan sentiasa menjadi sebutan dan kenangan dalam kalangan masyarakat . Hal ini terkandung dalam ungkapan: “Budi yang baik dikenang juga,” juga ungkapan “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Ini kerana keperihalan adab dan ketertiban dalam kehidupan sememangnya sentiasa diberi perhatian, saling membentuk dan mempengaruhi jati diri orang Melayu (Ismail b. Abd. Rahman, 2009:85-88).
Dengan hal yang demikian, kesusasteraan adab merujuk kepada genre sastera yang mengandung dan mengenengahkan perihal adab yang menjadi teras pembentukan jati diri bahasa dan bangsa Melayu. Perihal ‘adab’ dihuraikan dalam http://prpm.dbp.gov.my/ sebagai tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan. Dalam pengertian yang lain, aspek ‘adab’ ini turut merangkumi perihal yang berkaitan dengan ‘akal’ dan ‘budi,’ kedua-duanya saling membentuk dan menyokong membentuk jati diri, membangunkan tamadun dan peradaban di Alam Melayu. Perihal ‘akal’ dan ‘budi’ ini dihuraikan oleh Allah S.W.T. melalui firman-Nya dalam Surah As-Syams, ayat 9-10 yang bermaksud, “Sesungguhnya berbahagialah orang yang suka membersihkan dirinya (berakhlak baik) dan sungguh rugi orang yang berperangai buruk”.  Paling penting, melalui ‘akal’ dan ‘budi’ seseorang itu boleh mengenal dan membezakan antara yang baik dan yang buruk. Bahkan, dengan menggunakan kekuatan ‘akal’ dan ‘budi,’ boleh mengenal hakikat diri, sekali gus mengenal Allah S.W.T. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah, Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran” (Surah Az-Zumar 39: 9). Perihal adab inilah yang dijadikan sebagai bahan yang terkandung sama ada disampaikan secara lisan, mahupun tulisan, dianyam indah dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantara dalam teks kesusasteaan Melayu. Justeru, apa yang dikatakan ‘adab’ itu tidak sahaja sarat terkandung dalam teks kesusasteraan Melayu, dijadikan bahan sasteranya, tetapi juga begitu sebati dengan sistem ejaan dan tulisan Jawi yang menjadi takungan tampat tumbuh dan berkembangnya tradisi fikiran dan pemikiran masyarakat di Alam Melayu.
2.2          Warisan tidak tertera
Warisan tidak tertera merujuk kepada apa juga warisan budaya bangsa yang tidak jelas kelihatan, ‘patah tak tumbuh, hilang tak berganti!’ Dalam hal yang demikian, pertama-tamanya tentu sekali apa yang dikatakan ‘warisan tidak tertera’ itu merujuk kepada tradisi lisan[3] (sebelum dikenali tradisi tulisan) yang terlebih awal tumbuh dan berkembang dalam kalangan masyarakat. Tradisi lisan merupakan khazanah yang amat cair dan rapuh sifatnya, yakni amat cair kerana ia tidak dapat dibekukan sebaik sahaja dilafazkan dan bersifat rapuh kerana ia akan lenyap sebaik sahaja diujarkan. Dalam keadaan sifatnya yang amat cair dan rapuh inilah tumbuh dan berkembangnya genre sastera yang ringkas seperti bidalan, perbilangan, pantun, mantera, dan seloka yang memperlihatkan kedalaman fikiran serta intuisi, persepsi, dan visi terhadap hidup, alam, dan makhluknya yang tajam dan kritis (Noriah Taslim, 2007: 459-476).  Antara lain:
“Gelagat seperti rambutan jantan, orang berbunga kita berbunga, orang berbuah kita tidak; atau kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi!”
dan demikian juga pantun berikut:

Tak tumbuh tak melata
        Tak sungguh orang tak kata
Mengata  dulang paku serpih
        Mengata orang aku yang lebih
Sekadar menampilkan beberapa contoh, ternyata tradisi lisan berkenaan berjaya mengungkapkan budaya fikir: kepekaan, ketajaman fikiran, pemikiran, tradisi pemikiran, dan kebijaksanaan. Hal ini kerana dalam pengungkapan, tidak kira dalam bentuk yang bagaimana sekalipun, penutur lisan akan berhadapan secara langsung dengan khalayaknya. Dalam keadaan sedemikian, pantun mesti bersambut kerananya kebijaksanaan sangat diperlukan agar segala sesuatu yang diungkapkan akan segera diberi tindak balas sebaik-baiknya. Malah, dalam konteks kebahasaan, nada suara, riak muka, bahasa badan dan seumpamanya akan membantu keberkesanan penyampaian mesej tertentu. Ringkasnya, tradisi lisan menuntut pertemuan kehendak antara penutur dan pendengarnya  agar berada dalam kelompok khalayak, menjalin hubungan dan saling berinteraksi sesama mereka.
Paling menarik, setelah dan sebaik sahaja aksara, sistem ejaan dan tulisan dikenali, aspek kebijaksanaan yang terbangun dalam tradisi lisan terus diperkukuh. Tradisi penulisan dan persuratan tumbuh dan berkembang pesat sehingga kemudiannya membina berkeupayaan membina tamadun dan peradaban yang cukup meriah di Alam Melayu (Hasan Ahmad, 2004: 1-12). Segala-galanya tidak mungkin tumbuh dan berkembang dalam ‘kekosongan,’ melainkan terkandung di dalamnya, (i) tulisannya, iaitu sistem ejaan dan tulisan Jawi, dan (ii) tradisi fikiran dan pemikiran yang secara bijaksana[4] membina tamadun dan peradaban di Alam Melayu. Pelbagai genre sastera dalam bentuk puisi seperti bidalan, perbilangan, pantun, mantera, dan seloka; demikian juga dalam bentuk prosa seperti Hikayat Seri Rama, Hikayat Abu Hanafiah, Hikayat Hang Tuah,  Hikayat Raja Pasai dan  teks Sejarah Melayu disalin dan disebarkan dalam kalangan masyarakat di seluruh Alam Melayu.
2.3          Akal budi, adab, bahasa dan bangsa Melayu
Bahasa Melayu tidak sekadar apa yang diungkapkan dalam bentuk verbalnya sebagaimana bahasa-bahasa lain di dunia. Slogan, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ barang kali hanya ada dan sah dalam konteks bahasa Melayu tetapi tidak dalam bahasa-bahasa lain. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu itu benar-benar memberi ‘jiwa’ kepada orang Melayu dan bangsa Melayu. 
Sebelum bahasa Melayu benar-benar dikenali, manusia yang dikatakan orang Melayu disebut dalam teks Sejarah Melayu sebagai sekumpulan orang yang mendiami pesisir sungai di Palembang, Sungai Melayu namanya.  Daripadanya dapat dijangka bawaha Sungai Melayu itu jauh lebih dikenali berbanding dengan ‘orang Melayu’ itu sendiri. Sehinggalah bahasa yang dipertuturkan itu, yakni bahasa Melayu (setelah menewaskan bahasa Jawa, tulisan Rencong dan tulisan Palava yang terlebih awal tumbuh dan berkembang), terangkat sebagai lingua franca, orang Melayu mula dikenali orang berbangsa dan kerananya, maka berbondong-bondonglah orang yang ingin ‘masuk dan menjadi Melayu.’  Persoalannya, mengapa demikian jadinya? Apa yang menyebabkan bahasa Melayu menjadi pilihan, mengetepikan bahasa Jawa, tulisan Rencong dan tulisan Palava? Apa yang menyebabkan begitu ramai orang ingin ‘masuk dan menjadi Melayu?’  Paling berani, konsep Melayu itu sendiri terangkat sebagai bangsa yang cukup mulia, semulia-mulia Islam yang menjadi agama anutannya, sebagai satu-satunya agama yang diredoi oleh Allah SWT, sebagaimana yang terungkap dalam slogan,  ‘Melayu itu Islam, Islam itu Melayu.’
Paling menarik sebaik sahaja terangkat sebagai lingua franca penyebaran Islam di Alam Melayu, wujud keseragaman pemikiran mengenai konsep kerohanian dan akhlak yang begitu mempengaruhi dan membentuk peradaban di Alam Melayu (Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, 2001: 296). Kesedaran mengenainya telah merombak konsep Melayu daripada bersifat tempatan[5] kepada yang lebih universal, daripada menganuti agama budaya kepada agama Tauhid, daripada sifat mementingkan kumpulan etnik kepada yang mengutamakan kepentingan khalayak, bangsa dan negara. Universalisasi konsep dan identiti Melayu ini dihuraikan oleh Hashim Musa dalam  http://inmind.com.my/bm/agenda.pdf  sebagai mana berikut:
Konsep Melayu sebagai entiti budaya (cultural entity) bukan entiti etnik, kaum, bangsa dan negara, yang boleh merangkumi pelbagai etnik, suku bangsa dan keturunan (India, Arab, Cina, Afrika, Cham, Jawa, Batak, Melanau, Meranau, Bugis, Banjar, Kaukasian dan lain-lain) asalkan semua itu tercerna dan terjelma di dalam tiga ciri teras Melayu (dengan itu telah masuk Melayu), iaitu berbahasa Melayu, beragama Islam dan beradat resam serta berbudaya Melayu (halus budi bahasa dan budi pekerti; sentiasa bermuafakat dan mengutamakan kebajikan ramai; hormat dan berkhidmat kepada orang tua dan tetamu; sederhana bukan ekstremis; tidak kasar, militan dan ganas), ini menjadikan Melayu amat terbuka dan global ‘hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum dan hukum bersendikan kitab Allah’.”
Kedua-dua pandangan ini menegaskan tatacara kehidupan masyarakat Melayu yang bersatu padu mengikut tertib dan peraturan, diperteguh oleh adat istiadat, dipandu oleh Islam menurut ketentuan akidah, syariat dan ibadah.  Penyebaran dan penerimaan Islam di Alam Melayu telah mengidentitikan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa peradaban, membentuk entiti kaum sebagai satu bangsa, iaitu bangsa Melayu yang kemudiannya menentukan wilayah ini sebagai Kepulauan Melayu. Paling penting, penerimaan Islam sebagai agama dan anutan telah mengubah pemikiran dan tradisi pemikiran, yang kemudiannya begitu berpengaruh membina tamadun dan peradaban di Alam Melayu.
2.4          Ekosistem
Secara analogi Abdullah Hassan (2007: 851-874) dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VI, 2002 menghuraikan aspek kebahasaan, bahasa Melayu:
“ibarat kehidupan seekor ikan yang mempunyai ekologinya yang tersendiri: kitaran hayatnya, sekitarannya tempat ia hidup, makanannya, binatang lain yang sokongan dan pemangsanya, dan udaranya. Apabila kita merosakkan ekologinya, misalnya mencemari air yang menjadi habitat, tempat tinggalnya, ikan akan mati. Demikian juga bahasa, ia ada penuturnya, ia ada fungsinya, ia ada sekitaran hidupnya, ia ada maruah, ia ada martabat dan sebagainya. Apabila kita menggugat, mana-mana sistem ekologinya, ia akan memusnahkan kedinamikan bahasa itu”
Daripadanya dapat difahami bahawa ekosistem, yakni sistem ekologinya kedinamikan bahasa bagaikan sebuah akuarium, dinamakan akuarium kerana adanya entiti balang kaca yang berisi air, yang terkandung di dalamnya ikan, hiasan-hiasan dan mesin aliran oksigen. Ironinya tidaklah dinamakan akuarium, jika balang kaca, air, ikan, hiasan-hiasan, dan mesin aliran oksigen wujud secara terpisah-pisah. Ini bermakna, kalau mahu akuarium itu dinamakan akuarium, maka balang kaca yang berisi air, yang terkandung di dalamnya ikan, hiasan-hiasan dan mesin aliran oksigen mesti membentuk entiti yang disebut sebagai akuarium!  Sehubungan dengannya, ‘ekosistem bahasa’ dalam konteks perbincangan kertas kerja ini merujuk kepada keperihalan yang mendasari tumbuh dan berkembangnya bahasa Melayu itu sendiri. Aspek sejarah tumbuh dan berkembangnya bahasa Melayu itu perlu diperjelas agar apa yang dimaksudkan ‘ekosistem bahasa’ itu dapat difahami sebaik-baik, yang kemudiannya kelak sangat perlu dirujuk untuk merencana tindakan selanjutnya bagi tujuan memperkembang dan memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Dalam hal yang demikian, dalam keadaan tunggal dan bersendirian, perkataan adalah kosong dan tidak bermakna. ‘Kata’ tidak akan menjadi bahasa kalau tidak dilambangkan dalam bentuk pertuturan atau perlakuan tertentu. Yang menjadikan sesuatu perkataan itu bahasa hanya kerana ia dilambangkan sama ada dalam bentuk objek, pertuturan atau perlakuan. Maka, segala macam objek (benda, dokumen), bahasa pertuturan dan perlakuan (bahasa badan, adab dan seumpamanya) merupakan ekosistem yang membolehkan sesuatu bahasa itu tumbuh dan berkembang.  Ini bermakna sama ada tinggi atau rendahnya martabat sesuatu bahasa berkait rapat dengan tatacara bagaimana objek (benda, dokumen), bahasa pertuturan dan perlakuan (bahasa badan, adab dan seumpamanya) diberi nilai oleh sesuatu bangsa yang menjadi pendokong kepada usaha melestari bahasa berkenaan.
Perihal objek (Manuskrip, Batu Bersurat, Batu Nisan) dan yang paling penting di Alam Melayu, kepulauan Melayu merupakan bukti yang nyata bahawa perihal bahasa, bangsa dan negara bangsa yang pernah tumbuh dan berkembang sehingga berkeupayaan membentuk tamadun dan peradaban di Alam Melayu. Demikian juga, aspek pertuturan, terutamanya sebelum tradisi tulisan dan penulisan dikenali, tradisi lisan  terlebih awal bertapak, tumbuh dan berkembang, bahkan menjadi wadah  utama yang berfungsi sebagai medium mengungkapkan secara kreatif dan kritis, fikiran dan tradisi pemikiran dalam kalangan masyarakat  di Alam Melayu. Malah, apa yang diungkapkan melalui objek dan pertuturan (lisan) inilah yang kemudiannya diterjemah dalam bentuk perlakuan, sehingga membentuk adab yang begitu mempersona dan menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat keseluruhannya.  Dengan hal yang demikian, dalam konteks ekosistem tempat tumbuh dan berkembangnya bahasa Melayu, aspek kebahasaan itu turut merangkumi aspek adab yang telah sedia terangkum di dalamnya.
Dalam kalangan masyarakat di Alam Melayu, bahasa Melayu tidak tumbuh dan berkembang secara terpisah dalam kelompok masyarakat tertentu, sebaliknya tersebar luas daripada kumpulan marhaen dalam langan rakyat jelata hinggalah menjangkau kumpulan bangsawan di institusi raja dan kerajaan; daripada kumpulan dalam kalangan masyarakat petani dan nelayan hinggalah kepada kumpulan pedagang, koperat dan konglomerat; daripada catatan di prasasti, batu nisan, batu bersurat sehinggalah kepada dokumen perundangan, perjanjian jual beli; daripada catatan di atas kepingan kulit, lembaran kertas sehinggalah kepada puluhan ribu salinan manuskrip seluruhnya membentuk entiti ekosistem yang menjadi nadi penggerak memasyarakat dan mengantarabangsakan bahasa Melayu di kepulauan Melayu khasnya dan di saentero dunia amnya. Dengan demikianlah bahasa Melayu bermula dan kemudiannya mencapai kegemilangan di peringkat glokal mengakar tradisi dan di peringkat global, mengawan tinggi, dimuliakan seadanya.
Tidak syak lagi, perihal  akal budi, adab, bahasa dan bangsa Melayu itu sendiri membentuk entiti ekosistem tersebarnya kemahiran dan kecekapan berbahasa dalam kalangan masyarakat dalam dan luar Alam Melayu. Ekosistem itulah juga yang membentuk warisan tidak tertera yang amat menyumbang dan menyokong usaha melestari bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Bahkan, ‘Alam Melayu’ itu sendirilah yang menjadi ekosistem, wilayah besar yang kemudiannya membentuk wilayah, tempat tumbuhnya peng’alam’an sehingga kemudiannya membentuk tamadun dan peradaban yang cukup meriah di seluruh kepulauan Melayu.
3.0          Keselarian Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)  dan kesusasteraan adab: kesusasteraantradisional Melayu

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), diperkenal dalam sistem pendidikan kebangsaan melalui pernyataan berikut:
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu (i) secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis (ii) dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan (iii), berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab (iv), dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara (v)."
Antara lain Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengungkapkan perkara berikut sebagai perkara yang dihasratkan akan tercapai melalui sistem pendidikan negara. Sama ada secara sedar atau secara kebetulan, awal mula penulisan teks Kesusasteraan tradisional Melayu¸khususnya teks sejarah, Sejarah Melayu/Sulalatus Salatin mengungkapkan pernyataan penulis, mewakili ciri kepengarangan tradisional Melayu, diungkapkan oleh Tun Seri Lanang sebagaimana berikut:
“Demikian bunyi titah yang maka mulia itu, "Bahawa Beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara (1), peri peristiwa dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali (2), supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang ke­mudian daripada kita, diingatkannya syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya."(3) Setelah fakir alladzi huwa murakkabun `ala 'I-jahli, maka fakir perkejutlah diri fakir (4) pada mengusahakan dia; syaha­dan memohonkan taufik ke hadzirat Tuhan sani 'I-alam dan minta harap kepada nabi sayidi 'I-anam, dan minta ampun kepada sahabat yang akram (5). Matra fakir karanglah hikayat ini Kama sami `tuhu min jaddi wa abi, supaya akan me­nyukakan duli hadzirat baginda (6). Maka fakir namai hi­kayat itu Sulalatu 'I-Salatin, yakni peraturan segala raja-raja. Hadzihi duraru 'I-akhbar wa ghuraru 'I-amthal, inilah mutia segala cetera dan cahaya segala peri umpamaan (7).”
Noriah Taslim (2006: 13)
Sekiranya intipati Falsafah Pendidikan Kebangsaan, akur terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia secara khusus, dan secara amnya mematuhi aspirasi Kerajaan Malaysia, menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, pernyataan Tun Seri Lanang kalau tidak pun menyerupai turut mengandungi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri. Segmen (1) secara khusus menegaskan ‘Beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara,’  merupakan perintah Paduka Yang Dipertuan (raja), yang dalam konteks masyarakat tradisional mentaatinya satu kemestian, menidakkannya bererti derhaka.[6] Dan, sebagai rakyat tiada pilihan baginya melainkan mentaati perintah[7] kerajaan yang memerintah bagi tujuan melaksanakan tugasnya untuk ‘perbuatkan hikayat’ yang isi kandungan terkandung dalam segmen (2) yakni ‘peri peristiwa dan peraturan.   Perihal, ‘peri peristiwa’ merujuk kepada peristiwa sejarah, manakala segala ‘peraturan’ merujuk kepada hal-hal yang berkaitan dengan bahasa, adab dan segala-galanya yang berkaitan dnegan undang-undang sedia yang saling menyumbang membentuk sebuah negara bangsa (berkerajaan).
Segala-galanya, yakni segmen (1) dan (2) dilaksanakan supaya segala-galanya (kelak) diketahui oleh segala anak cucu kita yang ke­mudian daripada kita, diingatkannya syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya (Segmen 3).  Pernyataan agar  “segala-galanya (kelak) diketahui oleh segala anak cucu kita,” sebenarnya menegaskan bahawa “segala anak cucu kita” akan mengetahui (memperoleh pengetahuan) mengenai segala “peri peristiwa dan peraturan,” dengan harapan kerananya kelak akan “beroleh faedahlah ia daripadanya.” Tidak syak lagi perkara yang paling penting sebenarnya bukan “peri peristiwa dan peraturan,” yang diketengahkan itu, sebaliknya “segala anak cucu kita” akan “beroleh faedahlah ia daripadanya.” Tegasnya, intipati keseluruhan pernyataan Tun Seri Lanang yang juga kelak menjadi dasar kepengarangan pada masa itu ialah, segala sesuatu yang terhasil itu mesti sarat makna, memberi faedah dan manfaat kepada kehidupan generasi akan datang.
Keperihalan yang terkandung dalam segmen (4 - 7) pula menegaskan bagaimana aspek potensi diri yang fakir[8] itu dapat dikembangkan sebaik-baiknya untuk manfaat khalayak seluruhnya. Menyedari hakikat dan potensi diri, pengarang yang sebagaimana hebat sekalipun tetap tertakluk kepada kehendak dan izin Allah SWT, maka ‘memohonkan taufik ke hadzirat Tuhan,’  merupakan tuntutan yang bertujuan ‘memperoleh petunjuk daripada Allah SWT.  Hal ini penting bagi tujuan mempermudah baginya, sebagai seorang pengarang profesional Melayu melaksanakan tugasnya, ‘perbuatkan hikayat’ yang akan ‘me­nyukakan duli hadzirat baginda’ (Segmen 6). Dalam konteks ini, pernyataan ‘me­nyukakan duli hadzirat baginda,’  sama sekali menyalahi maksud untuk menghibur, menghilangkan rindu dendam, melekakan dengan segala peristiwa yang memberahikan, terpukau dengan rupa paras puteri jelita di taman bunga yang indah-indah, sebaliknya lebih bermaksud ‘menyenangkan,’ ‘memelihara hati dan perasaan,’ dalam erti kata jangan menyinggung perasaan.

Secara bandingan, semacam ada keselarian pernyataan Tun Seri Lanang dengan pernyataan Falsafah Pelajaran Kebangsaan.

<><>
<><>
<><>
<><>
<><>
<><>
Falsafah Pelajaran Kebangsaan
<><>
Tun Seri Lanang, Pengarang profesionalime Melayu
<><>
<><>
pendidikan berterusan
<><>
Pendidikan berterusan untuk kepentingan ‘segala anak cucu kita’
<><>
<><>
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
<><>
Mengembangkan potensi individu, sebagai ‘fakir,’ hamba Allah yang taat dan sebagai ‘rakyat’ yang setia kepada raja dan kerajaan
<><>
<><>
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
<><>
Insan yang seimbang dalam keadaan mentaati perintah raja, pada masa yang sama menjadi ‘fakir’ hamba Allah SWT
<><>
<><>
melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan
<><>
mengetahui (memperoleh pengetahuan) mengenai segala “peri peristiwa dan peraturan,” dan yang paling penting ‘memperoleh faedah daripadanya.’
<><>
<><>
melahirkan masyarakat berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan
<><>
Memperoleh faedah, manfaat daripadanya (peri peristiwa dan peraturan)
<><>
<><>
melahirkan masyarakat yang berkeupayaan memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara
<><>
Memelihara, mensejahterakan dan mengharmonikan hubungan rakyat dengan raja dan kerajaan; paling penting hubungan dengan Allah SWT

Dengan hal yang demikian, tidak ada sebab mengapa warisan tidak tertera, kesusasteraan adab: bahasa dan kesusasteraan tradisional Melayu turut dimanfaatkan bagi tujuan memartabat bahasa Melayu dalam arus perdana sistem pendidikan negara, sekali gus memartabatkan bahasa Melayu dalam arus perdana pembangunan negara.
4.0          Melestari adab dan budaya ilmu dalam konteks ekosistem bahasa Melayu
Kesusasteraan adab, warisan tidak tertera bukan perkara baru. Sebelum sistem ejaan dan tulisan berkembang pesat di Alam Melayu, tradisi lisan_warisan tidak tertera begitu berpengaruh, berfungsi sebagai alat mendidik adab dalam kalangan masyarakat di Alam Melayu. Kesusasteraan lisan, sama ada prosa ataupun puisi mengambil tempat dan amat dekat dengan kehidupan seharian dalam kalangan masyarakat. Seluruh aspek kehidupan, terutamanya yang berkaitan dengan proses pembentukan adab terakam indah dalam bentuk yang pelbagai dan cukup mempersonakan hati sesiapa juga yang hidup dan membesar dalam kerangka sistem/ekosistem masyarakat berkenaan. Dalam hal yang sedemikian, tidak siapa yang begitu berani mempertikai, mencabar kewibawaan pelbagai pantang larang yang diketengahkan dalam kalangan masyarakat yang kadang kala tidak boleh diterima oleh akal logik[9] manusia. Misalnya, pernyataan bahawa kalau anak dara sering menyanyi di dapur kelak dapat suami tua; kalau duduk di atas bantal, kelak tumbuh bisul di pinggul; kalau menyapu di malam hari, rezeki akan menjauh dan sebagainya diterima tanpa soal oleh satu generasi kepada generasi berikutnya. Malah, antara lain teks Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai dan Hikayat Hang Tuah berbentuk prosa, manakala rangkaian pantun, seloka, gurindam dan seumpamanya diperaku sebagai antara ciptaan terbaik yang pernah dihasilkan dalam kalangan masyarakat di Alam Melayu. Bahkan diperaku, teks kesusasteraan tradisional Melayu berkenaan dihasilkan oleh genetik akal Melayu yang cukup wibawa, yang tidak pernah terhasil oleh mana-mana bangsa di dunia. Hal yang demikian itulah yang cukup mempengaruhi tumbuhnya tamadun dan peradaban di Alam Melayu. Melaluinya, orang Melayu menemui keperibadian bahasanya, bangsanya, ‘alam’nya yang kemudiannya membentuk ‘pengalaman’ yang begitu berguna, menyumbang ke arah membina tamadun dan peradaban di seluruh Nusantara.
Keserasian teks Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai dan Hikayat Hang Tuah dalam konteks dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kerana ketiga-tiga teks ini dikategorikan sebagai teks sejarah yang semestinya mengandungi pelbagai kisah yang menarik dan sesuai untuk mendidik adab berbahasa dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana sejarah menurut pandangan orang Melayu bukan fakta, tarikh, tempat, peristiwa dan pelaku sebagaimana ditanggapi oleh sejarawan barat. Bagi orang Melayu yang penting bukan fakta, tempat, tarikh, pelaku dan peristiwa, sebaliknya makna yang boleh disampaikan oleh fakta, tempat, tarikh, pelaku dan peristiwa yang diketengahkan itu. Dengan hal yang demikian, kisah Singapura dilanggar todak dalam kalangan sejarawan barat bukan peristiwa sejarah kerana gagal menampilkan fakta, tempat, tarikh, pelaku dan peristiwa dengan tepat. Sebaliknya dalam kalangan masyarakat dan orang Melayu, apa yang dipentingkan ialah berapa banyak pengajaran yang boleh dicapai melalui sesuatu peristiwa yang diketengahkan itu. Hal inilah yang dimaksudkan oleh Tun Seri Lanang agar ‘segala anak cucu kita” akan mengetahui (memperoleh pengetahuan) mengenai segala “peri peristiwa dan peraturan,” dengan harapan kerananya kelak akan “beroleh faedahlah ia daripadanya.”
5.0          Memanfaatkan bahan warisan tidak tertera dalam pengajaran kemahiran dan kecekapanberbahasa Melayu
Usaha untuk menggerakkan ekosistem berbahasa Melayu memerlukan komitmen menyeluruh daripada:
5.1            Kementerian Pelajaran Malaysia, paling penting Bahagian Perkembangan Kurikulum bahasa Melayu perlu menimbangkan untuk memperbaharu dan melakukan penambahbaikan terhadap kurikulum yang melibatkan kemahiran dan kecekapan berbahasa Melayu. Antara lain usaha menjadikan warisan tidak tertera sebagai sebahagian daripada kandungan kurikulum bahasa dan kesusasteraan Melayu di sekolah dan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta;
5.2            Kementeriaan Penerangan, Kebudayaan dan Warisan perlu lebih proaktif  mengguna dan menggembleng seluruh keupayaan untuk memperteguh kemahiran dan kecekapan berbahasa dalam kalangan masyarakat;
5.3          Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabatan Pelajaran Daerah di peringkat pengurusan berperanan sebagai tenaga penggerak menyusun, merencana dan memantau pelaksaan program memperteguh  kemahiran dan kecekapan berbahasa dalam kalangan warga pendidik;
5.4          Agensi Kerajaan khasnya Dewan Bahasa dan Pustaka berperanan sebagai agensi yang menyokong gerakan, program memperteguh kemahiran dan kecekapan berbahasa dalam kalangan warga pendidik, dan masyarakat keseluruhannya;
5.5          Kesatuan Guru, Persatuan Penulis dan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu berperanan bersama-sama agensi lain mengenal pasti dan melaksanakan program memperteguh kemahiran dan kecekapan berbahasa dalam kalangan warga pendidik, dan masyarakat keseluruhannya;
Apa pun tindakan sebagaimana yang dicadangkan, paling penting kedudukan bahasa Melayu sebagai (i) bahasa rasmi negara, (ii) bahasa kewarganegraan, dan (iii) bahasa penghantar pendidikan di sekolah-sekolah dan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta mesti diperteguh. Dengan hal yang demikian, keperluan mempelajari bahasa Melayu hanya kerana keperluan untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan semata-mata perlu segera digantikan pada kadar segera dengan kehendak meningkatkan kemahiran dan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kerana bahasa Melayu merupakan (i) prasyarat memperoleh hak kewarganeraan, (ii) bahasa rasmi negara, dan (iii) bahasa penghantar pendidikan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negara. Bahkan, bahasa Melayu sejak lama dahulu telah diperaku sebagai bahasa pemersatu pelbagai kumpulan etnik_bahasa perpaduan yang begitu berjaya mensejahtera dan mengharmonikan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Pesan Ibn Khaldun dalam bukunya al Muqadimah, kiranya bahasa tidak diajar secara sempurna, generasi terkemudian akan mempelajari bahasa daripada masyarakatnya. Pesanan Ibn Khaldun ini mengandungi sarat makna, antara lain menegaskan (i) peranan guru, dan (ii) peranan komuniti. Dalam keadaan bahan warisan tidak tertera yang semakin dilupai dalam arus perdana pembangunan negara, guru bahasa Melayu perlu lebih proaktif menggerakkan seluruh ekosistem yang ada bagi tujuan memacu kecemerlangan kemahiran dan kecekapan berbahasa dalam kalangan murid-murid khususnya dan dalam kalangan masyarakat keseluruhannya.
Dalam usaha melestari warisan tidak tertera, aspek adab dan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat, bahannya sedikit sebanyak telah tersedia dalam bentuk lisan, dan tulisan: sistem ejaan dan tulisan Jawi, terdapat juga yang telah disalin dengan menggunakan sistem ejaan dan tulisan rumi.Hal ini memudahkan guru memanfaatkan khazanah warisan tidak tertera teks Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai dan Hikayat Hang Tuah yang berbentuk prosa, dan rangkaian puisi seperti pantun, seloka, gurindam dan seumpamanya. Bahan-bahan ini juga secara mudah boleh diakses secara langsung daripada laman web tertentu seperti http://www.sabrizain.org/malaya/library/, http://malaycivilization.ukm.my/ dan http://pan-tun.blogspot.com/. Guru juga boleh memanfaatkan laman sesawang Gerbang Maya Dewan Bahada dan Pustaka: http://prpm.dbp.gov.my/, bagi tujuan memudahkannya melaksana tugas pengajaran dan pembelajaran kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan murid-murid di sekolah.
6.0          Peranan guru bahasa Melayu menggerakkan ekosistem komuniti sekolah
Guru bahasa Melayu menyebar luas fungsi dan peranan mereka daripada berfungsi sebgai tenaga pengajar kemahiran dan kecekapan berbahasa Melayu dalam bilik darjah kepada tenaga penggerak kepada ekosistem berbahasa Melayu dalam kalangan masyarakat  seluruhnya. Guru bahasa Melayu berfungsi sebagai perancang, pendorong,  pengurus,  pembimbing, pemotivasi,  penggalak, penilai, penyelidik, pembentuk sahsiah, dan pakar rujuk kemahiran dan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan murid-murid di sekolah. Di samping itu, guru bahasa Melayu perlu berfungsi sebagai penyelaras dan perunding kepada seluruh program yang bertujuan meningkatkan kemahiran dan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan warga pendidik dengan komuniti sekolah seluruhnya.
7.0          Peranan guru bahasa Melayu menggerakkan ekosistem komuniti masyarakat
Selain bertanggungjawab menggerakkan menggerakkan ekosistem berbahasa di sekolah, guru turut bertanggungjawab menjadi perantara menghubungkan komuniti sekolah dengan masyarakat setempat. Paling penting guru bahasa Melayu perlu menjalin kolaborasi, memainkan peranan menggerakkan ekosistem berbahasa Melayu seluruhnya, agar warisan tidak tertera benar-benar dapat dimanfaatkan dalam usaha meningkatkan kemahiran dan kecekapan berbahasa dalam kalangan masyarakat seluruhnya. Ringkasnya, guru bahasa Melayu perlu menjadi penggerak ekosistem komuniti sekolah dalam kalangan pentadbir, panitia, persatuan dan kelab berbahasa Melayu. Sehubungan dengannya, guru bahasa Melayu perlu juga berperanan menggerakkan komuniti masyarakat dalam kalangan pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan yang mempunyai kaitan secara langsung menjayakan agenda/aktiviti yang berkaitan dengan usaha memperteguh kemahiran dan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan Masyarakat. Dalam hal yang demikian, guru bahasa Melayu perlu menganggotai mana-mana persatuan yang mempunyai kaitan langsung dengan usaha memartabat bahasa Melayu, antara lain Persatuan pendidik bahasa Melayu. Melaluinya guru-guru bahasa Melayu di seluruh negara dapat disatukan, digembleng tenaga seluruhnya, melaksanakan pelbagai aktiviti yang boleh memacu kecemerlangan kemahiran dan kecekapan berbahasa dalam kalangan masyarakat seluruhnya.