Sunday, August 23, 2009

Anak kecil itu

anak kecil itu, tidak kira siapa-siapa
mereka adalah anak kita, waris kita, generasi kita:
kerana kita mereka mampu berdiri dan berlari
kerana kita mereka berupaya menjadi begitu dewasa
kerana kita mereka berdaya menentukan segala.

paling tidak kerana kita, mereka berhak bertanya:
apa yang telah kita berbuat sehingga mereka
begitu berdaya untuk berdiri dan berlari
atau, sebenarnya apa yang kita tidak berbuat
sehingga mereka hilang upaya
untuk mencari diri di bumi sendiri.

anak kecil itu, tidak kira siapa-siapa
mereka adalah anak kita, waris kita, generasi kita:
biar rebah, biar luka, biar berdarah – biar apapun kita
jangan sesekali biarkan mereka lapar
jangan sesekali biarkan mereka melarat
jangan sesekali biarkan mereka merempat
jangan sesekali biarkan mereka keparat
jangan sesekali biarkan ... mereka ... jangan biarkan mereka
kerana mereka adalah anak kita, waris kita, generasi kita:
penentu segala – kita bangsanya, kita negaranya.

kita harus menentukan ... kita harus melakarkan:
kalau sesat – lalu kita sediakan jalan pulang
kalau jatuh – lalu kita sediakan bangunnya
kalau rebah – lalu kita sediakan dirinya
kalau luka – lalu kita sediakan pembalutnya
kalau sakit – lalu kita sediakan rawatnya
kalau dungu – lalu kita sediakan pandainya
kalau pandai – lalu kita sediakan bijaknya
kalau bijak – lalu kita sediakan bestarinya.

demikian kalau ... biar pun kalau ... di antara kalau yang ada
jangan sesekali kita mengeluh ... lalu kesah
jangan sesekali kita mengalah ... lalu berasa payah
jangan sesekali kita menyerah ... lalu mengalah
jangan sesekali kita merasakan ... lalu mengecewakan
lalu kita tidak berbuat apa-apa:
kerana kita sekadar leka untuk berbuat yang selamanya
kita tidak pernah berbuat apa-apa yang perlu diperbuat.

Masmerah
Parit Buntar, 2009

4 comments:

Tirana said...

Salam Dr Ismail,

Sedap puisi ni.. Dr memang berbakat.

Masih ingat saya lagi, your junior di Sek Panglima Bukit Gantang. Kawan baik dengan adik Dr. yang bernama Arbain Abdul Rahman. Dapat address blog Dr ni dari dia la. Nanti ada masa lawatlah blog saya di http://meniti-hari.blogspot.com

Mohon izin untuk link kan blog Dr ni di blog saya.

Nama pena saya Tirana Mutiara. Nak tahu nama sebenar saya, Dr kena tanya Arbain.

Rbin said...
This comment has been removed by the author.
iar said...

Assalamualaikmum,

Terima kasih kerana sudi lawat blog saya. Terima kaish juga kerana sudi beri komen terhadap sajak itu dan sajak prolog - kedua-duanya sekadar memenuhi kehendak anak yang menyertasi pertandingan deklamasi sajak peringkat kebangsaan. Alhamdulillah, tempat ketiga.

Insya-Allah dalam terdekat saya akan lawati blog puan Zainab tu! Cuma kalau sudi daftarlah sebagai ahli ALUMNI sbpg dan ajak rakan-rakan yang lain supaya berbuat demikian.

Terima kasih. Wassalam.

iar said...
This comment has been removed by a blog administrator.