Sunday, August 23, 2009

Anak kecil itu

anak kecil itu, tidak kira siapa-siapa
mereka adalah anak kita, waris kita, generasi kita:
kerana kita mereka mampu berdiri dan berlari
kerana kita mereka berupaya menjadi begitu dewasa
kerana kita mereka berdaya menentukan segala.

paling tidak kerana kita, mereka berhak bertanya:
apa yang telah kita berbuat sehingga mereka
begitu berdaya untuk berdiri dan berlari
atau, sebenarnya apa yang kita tidak berbuat
sehingga mereka hilang upaya
untuk mencari diri di bumi sendiri.

anak kecil itu, tidak kira siapa-siapa
mereka adalah anak kita, waris kita, generasi kita:
biar rebah, biar luka, biar berdarah – biar apapun kita
jangan sesekali biarkan mereka lapar
jangan sesekali biarkan mereka melarat
jangan sesekali biarkan mereka merempat
jangan sesekali biarkan mereka keparat
jangan sesekali biarkan ... mereka ... jangan biarkan mereka
kerana mereka adalah anak kita, waris kita, generasi kita:
penentu segala – kita bangsanya, kita negaranya.

kita harus menentukan ... kita harus melakarkan:
kalau sesat – lalu kita sediakan jalan pulang
kalau jatuh – lalu kita sediakan bangunnya
kalau rebah – lalu kita sediakan dirinya
kalau luka – lalu kita sediakan pembalutnya
kalau sakit – lalu kita sediakan rawatnya
kalau dungu – lalu kita sediakan pandainya
kalau pandai – lalu kita sediakan bijaknya
kalau bijak – lalu kita sediakan bestarinya.

demikian kalau ... biar pun kalau ... di antara kalau yang ada
jangan sesekali kita mengeluh ... lalu kesah
jangan sesekali kita mengalah ... lalu berasa payah
jangan sesekali kita menyerah ... lalu mengalah
jangan sesekali kita merasakan ... lalu mengecewakan
lalu kita tidak berbuat apa-apa:
kerana kita sekadar leka untuk berbuat yang selamanya
kita tidak pernah berbuat apa-apa yang perlu diperbuat.

Masmerah
Parit Buntar, 2009

Senja tidak merah lagi ...

Keindahan yang hilang. Hilang dari pandangan. Hilang dari realiti alam yang dijadikan serba indah, serba sempurna untuk seluruh kehidupan. Natijahnya, sejak kesekian kalinya Sungai Kurau mengalir lesu, mengheret suka duka kehidupan sepanjang zaman. Segala macam bau busuk, hanyir dan tengik silih berganti terbaur dalam satu wajah yang cukup mengharukan. Tiada lagi suara cengkerik, apatah lagi wajah girang sang berudu atau kelibat helang laut yang saling berkejaran memburu mangsa di muara. Segalanya tiada. Segalanya hilang dari pandangan mata Ayah Aji.
“Ayah Aji, tak jemu-jemu ke sini?” sapa YB. Bakar yang sejak tadi memerhati.
“Ya … bersama Ayuni. Hanya Ayuni yang cukup faham … hanya Ayuni yang cukup mengerti!” Ayah Aji bersuara lembut tetapi sarat makna. YB. Bakar sekadar tersenyum, mengangguk sebagai tanda melayani kerenah Ayah Aji. Entah berapa kali Ayah Aji mengulangi ayat skema seperti itu.
“Ayah Aji ni benar-benar dah nyanyuk …” YB Bakar membuat rumusan mudah. “Sudah lebih sepuluh tahun Ayuni kembali kerahmatullah. Ayah Aji tidak pernah menerima hakikat itu. Kematian,” YB. Bakar mendengus sendirian melahirkan rasa kesalnya akan tragidi yang menyayat hati itu. “Kematian? Bukankah yang mati itu jasadnya? semangatnya ... perasaannya ... hati nuraninya ... kasih sayang ... kecintaan ...masih hidup? Bahkan, kita yang hidup ini sepatutnya mengambil pengajaran daripadanya ... kematiannya, kerana kesilapan kita ... salah perhitungan dan pertimbangan kita!” Ayah Aji bagaikan menyampaikan khutbah, bertalu-talu mengemukakan pandangannya untuk sesiapa sahaja yang cuba memperkatakan soal kematian Ayuni. Ayuni, satu-satunya anak kesayangan Ayah Aji, amanah Illahi untuknya. Mati., kononnya kerana keracunan. Siapa yang meracunnya, kalau bukan mereka yang rakus? Mencemarkan alam anugerah dan amanah Allah untuk ummat manusia sejagat. Mencemarkan sungai, sebenarnya mencemarkan diri manusia itu sendiri.
“Ya… hanya Ayuni faham … lembayung senja … warna keemasan … kehidupan. Huh … sungguh indah kehidupan Ayuni … Ayuni … esok kita ke sini lagi ye?” Ayah Aji meracau. Lembayung senja, seperti biasa cukup setia, saban senja kembali menghiasi dada lautan, mentari dan kaki langit. Segalanya mengadun warna, warna kehidupan. Cuma sejak belakangan ini warnanya semakin suram, sesuram hidup Ayah Aji tanpa Ayuni.
“Tapi … Ayuni sudah lama pergi … Ayuni sudah lama meninggalkan kita … Ayuni dah mati!”
“Sapa kata Ayuni mati? Yang mati itu jasadnya! Ayuni tetap bersama aku. Ayuni tak mati, Ayuni macam lembayung senja dan mega merah keemasan itu ... sentiasa setia akan janjinya … hadir dan akan terus hadir!”. Ayah Aji mempertahankan. “Paling penting ... Ayuni tetap setia menanti di pengkalan ini, menanti dan terus menanti sehingga tiba saatnya, aku kembali bersamanya”. Ayah Aji sebagaimana selalu mengulangi ayat skema itu.
“Esok kita datang lagi tauu!”.
“Yalah …!”
“YB tak kerjakah?”
“ …kerja!”
“Kalau kerja … tak payahlah ke sini lagi … pergi kerja. Hah kerja … bersihkan sungai. Tanggungjawab kita. Tanggungjawab semua. Ayuni saja yang cukup faham … warna suram itu kelam, warna kelam itu jeram … sungai lesu … sungai tepu … sarat … sisa kehidupan … tak gitu YB ..ya .. ya .. Yang Berhormat Bakar”, ujar Ayah Aji lancar, semacam menyindir.
YB. Bakar termanggu sendirian. Kata-kata Ayah Aji sarat makna. Kata-kata Ayah Aji mewakili suara ramai. Suara rakyat, suara pengundi dan suara masyarakat seluruhnya. YB. Bakar juga cukup mengerti. Ayah Aji orang tua di kampung ini. Ayah Aji cukup dihormati dan disegani. Pendapat Ayah Aji jarang disanggah, apatah lagi untuk diketepikan begitu saja.
“Entah apa jadahnya … sungai ini mengalir lesu … bau hanyir, tengik menghantui … tiba-tiba saja jeti penambang ini pula nak dirobohkan … hiss tak masuk akal langsung!” Ayah Aji cuba mencari kepastian. Mempertahankan sesuatu yang difikirkan perlu untuk warisan, generasi akan datang.
“Salah kita juga … sungai ni macam bakul sampah … telan semua, serba serbi!... jeti ini perlu dirobohkan, kita bina jambatan … kalau ada jambatan kan senang … yalah, untuk kemudahan orang kampung juga!”, YB. Bakar cuba memberi jawapan.
“Siapa kita … Ayuni? Ayah Aji? Lembayung Senja? … tidak. Kami cukup setia. YB jangan nak buat serkap jarang!”
“Inilah masalahnya .. tidak semua macam Ayuni, Ayah Aji dan lembayung senja … setia. Masalahnya kita …!”
“Lagi-lagi kita … lagi kita … bukan kita. Mereka!” Ayah Aji membetulkan.
“Yelah tu … mereka tidak bertanggungjawab membuang segalanya … mereka mengotorkan sungai ini!”
“Bukankah sungai ini … sungai mereka dan sungai kita. Sungai ini cukup setia. Ayuni tahu itu … Ayuni cukup faham … Ayuni macam lembayung senja!... faham dan mengerti”
“Udahlah tu … Ayah Aji… dah malam ni … kita balik!”, YB. Bakar mohon penuh sopan. Ayah Aji mengangguk puas. Warna keemasan lembayung senja mulai pudar, warna samar dari kegelapan malam yang selamanya cukup setia melenyapkan segalanya. Ayuni hilang dalam kegelapan malam itu…hilang bersama lembayung senja. Ayah Aji tahu itu.
“Nak buat jambatan konon, bukan berapa orang sangat nak lalu jambatan tu … berkereta … hanya YB sahaja yang berkereta, kami semua pejalan kaki … basikal pun tak ada, bukankah gila namanya tu?” Ayah Aji berhujah.
“Yelah .. Ayah Aji …tapi penduduk di sini akan bertambah. Ayuni tu, anak Ayah Aji akan membesar, berumah-tangga dan beranak pinak. Seha, Sudin, Timah dan Temah akan berkeluarga - bersuami, beristeri dan beranak. Mereka pewaris segala … mereka bakal mewarisi dan menggunakan jambatan itu!, kini giliran YB. Bakar pula berhujah. Keputusan yang telah dibuat kerajaan tidak boleh dipersenda begitu.
“Juga mewarisi sungai yang mengalir lesu itu .. begitu maksud YB?” Ayah Aji cuba menguji.
“Sungai itu lain … jambatan itu lain!”
“Tapi … kedua-duanya, malah semuanya ada kaitan dengan sungai itu, penduduk kampung, nelayan pantai, lembayung dan laut itu, termasuk ikan, udang, sotong dan ketam … semuanya sungai itu … mengenai sungai itu dan paling penting mengenai kehidupan kita!” Ayah Aji petah mengemukakan pendapatnya. Secara kebetulan media televisyen yang ditontonnya sejak kebelakangan ini menyatakan semua itu. Ayah Aji hanya mengulangi semula segala yang didengarinya dalam susunan ayat yang paling mudah. YB. Bakar terasa tercabar. Fikiran mudanya tidak mampu menyaingi hujah Ayah Aji.
“Sudahlah …Ayah Aji … itu semua keputusan kerajaan!”, YB. Bakar cuba mematikan perbalahan yang dianggapnya sia-sia.
“Sudah mendenya … jambatan itu tak siap lagi, terbengkalai, khabarnya pemaju lari … hah sungai tu semakin lesu … jambatan yang tak siap itu dah halang arus sungai, air sungai berkeladak, berbau busuk … ikan, udang, sotong dan ketam banyak yang mati … keracunan agaknya, macam Ayuni, macam Joyah dan mungkin macam YB dan macam aku satu hari nanti!” Ayah Aji tersendu mengenang nasib Joyah, nasib Ayuni.
“Udahlah tu … Ayah Aji. Semuanya taqdir illahi … ada hikmahnya!”
“Itu bukan taqdir namanya. Kita yang mengusahakannya … kita yang menjadikannya begitu … sungai itu, jambatan itu kita yang menjadikannya begitu, kita boleh elak, sungai itu kita boleh kawal. Kita cuai … ini semua kerana kecuaian kita.”
“Esok, kita ke sini lagi ye!” Suara Ayuni manja, mengajuk watak iklan pizza di televisyen yang amat diminatinya. “Ayah, esok ke sini lagi ye!,” ulang Ayuni setelah menyedari permintaannya tadi tidak mendapat perhatian.
“Yelah tu … esok kita ke sini lagi … esok saja tau!,” Ujar Ayah Aji manja. Ayuni tersenyum puas. Ayah Aji cukup tahu, Ayuni pasti mengharapkan agar imbasan warna mega dari lembayung senja secara berterusan akan menghiasi indah muara Sungai Kurau. Ayuni akan sentiasa merindui lembayung senja.
Esok dan hari-hari berikutnya, Ayah Aji dan Ayuni bagaikan sepasang kekasih akan mengunjungi jeti kayu di muara Sungai Kurau. Tiada lain, selain melepaskan kerinduan yang amat sangat akan lembayung senja, merah keemasan menghiasi wajah ceria kehidupan.
Sungai Kurau mengalir lesu. Hanya sesekali kelihatan baung menyapa lemah. Lemas dalam tepu air sungai sarat menyeret bahan sisa yang beragam. Sesekali tersadai dan terdampar di pinggir, sesekali hanyut ke tengah melewati antara tiang teratak berceretek di kiri kanan sungai sehingga ke muara, mengapung di permukaan laut lepas.
Laut itulah. Laut itulah, anugerah Illahi, yang telah sekian lama menabur bakti kepada Ayah Aji dan rakan-rakannya. Sejak sekian lama, ikan, udang, ketam dan sesekali sotong menjadi tangkapan lumayan Ayah Aji dan rakan-rakan.
“Banyak dapat hari ini?” Ayuni, seperti selalu menyapa pantas sebaik sahaja sampan kolek Ayah Aji menghampiri jeti. Mendarat.
“Ada sikit … Ayuni mesti suka … cuba teka?”
“Alah … mesti sotong kan?” Ayuni tersenyum. Sejak sekian lama, Ayah Aji, dalam keadaan bagaimana sekalipun akan membawa pulang sotong untuknya. Kalau tak dapat sotong, Ayah Aji akan minta sotong dari kawan-kawannya. Hanya untuk Ayuni. Ayuni mesti dipuaskan kehendaknya. Ayuni pewaris segalanya. Kesengsaraan.
Makan malam itu cukup ceria. Ayuni kelihatannya terlalu berselera menjamah nasi berlaukkan sotong. Seperti selalu Ayuni meratah lahap sotong goreng masak kicap seekor demi seekor sehingga selesai.
“Ayuni kenyang ke makan malam ni?”
“Mestilah … tengok tu tak ada lagi … dah habis!” ujar Ayuni puas. Ayah Aji tersenyum. Biar Ayuni diberi makan secukupnya. Ayuni mesti segera membesar. Tidak boleh tidak. Ayuni mesti membesar di depan matanya. Selagi Ayah Aji hidup … Ayuni perlu dipelihara seadanya. Ayah Aji menghitung-harap, berkira-kira akan nasib masa depan Ayuni yang semakin tidak menentu. Usia lanjut Ayah Aji membuat Ayah Aji sentiasa resah. Usia delapan puluhan bagi Ayah Aji sudah terlalu tua untuk menyara kehidupan Ayuni yang baru berusia setahun jagung. Ayuni pastinya belum bersedia untuk hidup sendirian. Tempoh sepuluh tahun kehidupannya, masih terlalu awal baginya untuk memahami perencah, asam garam kehidupan. Sepuluh tahun itulah, Ayah Aji menjadi ibu dan bapa kepada Ayuni. Sejak Joyah, isterinya mati. Kata doktor, Joyah mati kerana keracunan!
Siapalah yang tergamak meracun Joyah? Tak mungkin Joyah bunuh diri? Joyah orang kuat agama. Joyah keturunan orang alim. Tak mungkin? Tapi doktor sendiri yang mengesahkan bahawa kematian Joyah kerana keracunan. Tak berani pula Ayah Aji bertanya selebihnya. Segalanya taqdir … agaknya ajal Joyah memang ditentukan sedemikian rupa. Ayah Aji pasrah.
“Uwekkk!”
“Ayuni!”
“Ayah … tolong ayah … ssss sss sakitttt … uwekkk!”
“Ayuni …kenapa nak!?” Ayah Aji cemas. Ayuni tersepuk longlai di ribaannya. Sisa muntah Ayuni selambak di atas lantai, kekuningan. Bau hanyir menyelubungi seluruh ruang dapur pondok buruk yang sejak sekian lama menjadi tempat Ayah Aji dan Ayuni berleindung dan berteduh. Tengik … berbaur dengan bau busuk dari Sungai Kurau di jeti penambang siang tadi.
“Uweekkk!”
“Ada apa nak? Kenapa nak?...” Ayah Aji cuba mencari jawapan. Mungkinkah Ayuni juga keracunan? Ayuni diracun orang?. Bukankah … Joyah dulu…Ya… Joyah dulu muntah-muntah, Joyah dulu keracunan. Ayuni keracunan!
“Uweekkk!”
“Ayuni!” Ayah Aji semakin resah, gelisah dan gelabah. Peluh dingin mencurah-curah membasahi dahi, mengalir turun ke muka dan kini seluruh tubuh Ayah Aji dibasahi peluh dingin. Wajah Ayuni dan wajah Joyah membayang silih berganti mengisi ruang dalam benak, fikiran Ayah Aji. Joyah keracunan. Ayuni keracunan. Joyah mati. Ayuni ….?
Tidak!. Tidakkkk! … Ayuni tidak boleh mati. Ayuni mesti diselamatkan. Ayah Aji bertekad. Ayuni mesti diselamatkan. Ayuni mesti diberi rawatan segera. Ayuni mesti dihantar ke klinik di seberang sana. Feri? Sampan kolek? Ayah Aji berlari ke hulu dan ke hilir dalam ruang tamu pondoknya, menghitung cara terbaik untuk menghantar Ayuni ke seberang!
Feri?. .. mana ada feri malam-malam buta macam ni… Sampan kolek?... alahai … jambatan …jambatan tak siap lagi … binaan jambatan banyak yang tergendala. Pembinaan jambatan mendapat tentangan penduduk setempat. Ayah Aji sendiri menentangnya. Kerja membazir. Lagi pun pembinaan jambatan itu terpaksa melalui tanah, tapak pondok buruknya. Tanah tempat dia dan Ayuni menumpang teduh. Tanah haram. Hanya itu yang Ayah Aji ada. Hanya itu yang perlu dipertahankan!
“Ayah Aji … Ayah Aji akan dibayar ganti rugi … Ayah Aji tanda tangan saja borang ini. Ayah Aji akan dibayar ganti rugi … Ayah Aji boleh cari penempatan lain yang lebih selesa …jambatan ini perlu untuk orang kampung!,” YB. Bakar membujuk.
“Tidak …projek tu membazir. Ramai lagi orang miskin macam aku ni kerajaan mesti bantu … pi buat jambatan tu buat apa? Membazir!” sergah Ayah Aji keras.
“Uweekkk!”
“Ayuni? …Ayuni … bersabar nak … bersabar. Kita akan ke tanah seberang. Ayuni akan dirawat … Ayuni akan selamat!”
“Tak usahlah … ayahhhh … Ayuni nak jumpa makkk. Ayah kata Mak mati macam ni … mak muntah-muntah …mak mati makan sotong … Ayuni mati makan sotong …”
“Ayuni …Ayuni … jangan cakap macam tu nak … Ayuni mesti selamat … Ayuni mesti selamat!”
“Toloooooooooong….!” Jerit Ayah Aji memecah keheningan malam.
“Toloooooooooong….!” Ayah Aji menjerit terus. Tubuh Ayuni di ribaannya terasa semakin longlai.
“Toloooooooooong….!” Jerit Ayah Aji lagi. Kali ini Ayah Aji benar-benar merasai kehilangan. Tubuh tinggi lampai Ayuni tidak bermaya lagi. Ayuni telah menjejaki ibunya, Joyah. Ayuni pergi. Mengulangi sejarah sebuah kehidupan. Ayuni pasti keracunan. Ayah Aji merumuskan.

Anugerah

Dewan Tuanku Syed Putra dirasai amat sepi. Namun kesepian itu tidak begitu dirasakan. Imbauan ingatan Wak Da masih terlalu jauh di luar dewan, melayah turun sehingga ke tanah sawah di hujung desa.

“Mana Mek Jah ni...dah matahari tinggi melangit begini tak sampai-sampai lagi!” Suara garuk Wak Da memecah kesepian. Ngah Jenab yang sejak tadinya melamun melayan perasaan sedikit tergamam dengan pertanyaan itu.
“Sabarlah ... kejab lagi datanglah Mek Jah tu!” Suara Ngah Jenab cuba membujuk hati kecil Wak Da yang semakin bercelaru. Sejak kebelakangan ini Wak Da menjadi perengus, pemarah dan kadangkala meracau sendirian.
“Sabar apa lagi Ngah Jenab oii...tekak aku dah mula kontang ni. Takkan nak tunggu lagi!'' Rengus Wak Da sendirian. Ngah Jenab semakin resah. Ngah Jenab faham benar tentang Wak Da. Kemarahannya tidak boleh disekat-sekat.
“Eh…eh…, tadi kan dah minum ... dah sarapan. Baru sangat takkan tak kenyang!” Ngah Jenab semakin bingung. Perilaku ganjil Wak Da sedikit sebanyak menggugat kegembiraannya pada hari itu.
“Emende ... mana ada minum. Sarapan! ... entah apa-apa. Waktu aku turun ke sawah tadi .. hah Ngah Jenab masih nyenyak tidur... mana sempat nak sedia semua tu. Merepek betullah Ngah Jenab ni!” Bebel Wak Da sambil membeliakkan matanya ke arah Ngah Jenab. Timbul rasa resah dalam diri Ngah Jenab. Pertengkaran kecil antara mereka berdua telah disedari oleh para tetamu di dewan bersejarah itu.
“ ... dah tebiat agaknya orang tua nil. Eh ... Wak Da, kita ni bukan di sawah...kita di USM ... kita di
Ngah Jenab cuba mengembalikan ingatan Wak Da.
“Eh...Eh…Ngah Jenab...buat apa kita ke sini? Kan anak padi kita tu.....”
“Dah .. dah.. Tak usah fikir anak padi tu...kita dah suruh Jeha, Joyah dan Mat Pin tolong tengok-tengokkan anak padi kita tu!” Ngah Jenab terus mencuba untuk meyakinkan Wak Da.
“Hiss… mana reti bebudak tu. Mek Jah saja yang reti... pasal anak padi, meredih, menyulam, merumput dan membaja ... tu kerja Mek Jah. Mek Jah selalu buat kerja tu. Mek Jah yang kena buat kerja tu...Mek Jah. Bukan Jeha, bukan Joyah … bukan Mat Pin!!” Wak Da semakin meracau. Ngah Jenab semakin resah.
Memang. Kata-kata Wak Da memang betul. Mek Jah memang boleh diharap. Mek Jah buat semua tu. Memang dulu Mek Jah buat semua itu. Mek Jah buat segala-galanya. Segala-galanya Mek Jah. Tapi.. itu dulu. Dulu ketika Mek Jah terpaksa berhenti dari sekolah. Bukan kehendak Ngah Jenab...bukan kerana Wak Da. Tetapi atas kehendak dan kerelaan Mek Jah sendiri. Ngah Jenab tidak pasti mengapa Mek Jah bertindak macam itu. Wak Da juga tidak mengerti. Semua orang tidak mengerti mengapa Mek Jah merasakan dia kena berhenti sekolah.
“Betul ke Mek Jah nak berhenti sekolah?” Tanya Ngah Jenab meminta kepastian.
Mek Jah diam. Ngah Jenab termanggu sendirian. Keresahan terasa. Terasa benar bahawa soalan itu tidak sepatutnya diajukan kepada Mek Jah yang masih keanak-anakan itu.
“Memang patut Mek Jah tu berhenti!...dia tu perempuan.” Sampuk Wak Da sambil memintal rokok daun di varanda.
“Eh...eh ... takkan mudah sangat...masa depan budak tu macamana?” Ngah Jenab cuba bertahan.
“Memang mudah ... nak berhenti. Bukan payah sangat. Berhenti sajalah ... mudah juga kita nak buat kerja-kerja di sawah tu. Ada juga faedahnya ... duit ringgit kita kena kira juga!” Wak Da masih mempertahankan buah fikirannya. Ngah Jenab berasa sedikit dukacita terhadap sikap Wak Da itu.
“Eh... Wak Da ... duit ringgit kita boleh cari ... Mek Jah tak sepatutnya berhenti!” Ngah Jenab mula naik berang dengan gelagat Wak Da. “Lagi pun mengapa mesti Mek Jah .... kenapa tidak Moin, Sudin, Manaf, Esah atau Yati saja yang berhenti sekolah?” Ngah Jenab sekali lagi mempertahankan Mek Jah. Baginya Mek Jah perlu dilayan serupa, adil dan saksama seperti anak-anak lain juga.
“Ngah Jenab oiii... Moin, Sudin, Manaf, Esah dan Yati tu retilah sikit pasal sekolah, pasal mengaji ni ... Mek Jah ni tidak. Otaknya lembab sikit ... kalau sekolah pun tak reti ... tak faham.... periksa darjah pun tak pernah lulus ...!”. Teriak Wak Da dari varanda dengan suaranya yang semakin meninggi.
Kali ini, hati kecil Ngah Jenab bagai dicarik rabak. Mek Jah merenung wajah tua ibunya itu penuh makna. Terasa benar akan kebenaran kata-kata ayahnya sebentar tadi. Ngah Jenab memang menyedari dirinya serba kekurangan … tidak reti, tidak pandai dan sedikit lembab … sebab itu dia berasa begitu perlu untuk berhenti sekolah. Ngah Jenab begitu simpati dan berasa amat bertanggungjawab untuk membantu kedua-dua orang tuanya menguruskan kehidupan keluarganya yang serba kekurangan. Mek Jah benar-benar terasa persekolahannya sekadar menambah beban keluarga.
“Eh... ayahnya. Pasal tak retilah nak sekolah … pasal tak retilah dia kena belajar… kalau tak sekolah mana dia nak reti...!” Ngah Jenab mula berfalsafah mempertahankan Mek Jah. Bagi Ngah Jenab Mek Jah mesti sekolah. Meskipun tidak pernah kenal huruf, Ngah Jenab cukup sedar dan insaf tentang pentingnya pelajaran, pentingnya sekolah. Ngah Jenab cucup sedar. Biar sedikit, pelajaran tetap berguna.
“Eleh ... kalau dah tak reti, tak pandai ... tak faham ... baiklah berhenti. Kita dulu tak sekolah pun .. tanam padi hidup juga. Dapur berasap juga ... tak pernah pun kebulur.” Wak Da cuba mematikan hujah Ngah Jenab. Kini Ngah Jenab betul-betul kecewa terhadap sikap suaminya Wak Da. Tidak faham atau sengaja tidak mahu memahami kehendaknya. Wak Da berasa sedikit bangga kerana berupaya merendah-rendahkan pandangan Ngah Jenab. Wak Da berasa puas melihat Ngah Jenab tercungap-cungap kepenatan mempertahankan pandangannya. Dalam hati kecilnya tetap akur dengan pandangan Mek Jah. Tetapi, entah kenapa kini Wak Da cukup terasa akan bebanan yang dipikulnya. Pendapatannya sebagai pesawah tidak pernah cukup untuk menanggung beban persekolahan kesemua anak-anaknya.
Biarlah Mek Jah berhenti. Paling tidak Mek Jah boleh membantunya membuat kerja-kerja di sawah. Itulah harapan Wak Da.
“Dahlah Mak, Ayah ... Mek Jah memang nak berhenti. Mek Jah nak tolong ayah. Mek Jah nak tolong mak!” Mek Jah cuba meleraikan pergeseran pandangan di antara kedua orang tuanya. Wak Da tersenyum lebar sambil menjeling kepada Ngah Jenab yang tentunya terpaksa akur dengan kehendak Mek Jah. Ngah Jenab melopong. Benak fikirannya menghitung hari-hari mendatang yang tidak ketentuan. Masa depan yang penuh ranjau berduri.
“Ngah Jenab ... Mek Jah tidak datang lagi?” Wak Da kembali meracau. Lamunan Ngah Jenab terhenti. Ngah Jenab kembali resah.
“Bila ... Mek Jah dah tak nak jumpa kita lagi ... Mek Jah dah jijik nak turun ke sawah bersama kita. Mek Jah dah hina kita ... Mek Jah dah... Mek Jah dah...” Wak Da terus meracau. Ngah Jenab semakin gelisah.
“Sapa kata ... Mek Jah tak kata macam tu...lepas ni dia pasti sama-sama kita di sawah!” Kali ini Ngah Jenab cuba melayan percakapan Wak Da.
“Dah tu awat Mek Jah tak sampai-sampai lagi. Mek Jah memang tidak suka kerja macam ni... Mek Jah dah tinggalkan kita!” Wak Da membebel. Ngah Jenab berasa amat terharu mengenangkan penyakit tua Wak Da yang semakin menjadi. Ngah Jenab sedih kerana di saat kegemilangan ini Wak Da terus resah, Wak Da terus gelisah. Wak Da sehingga saat ini masih tidak upaya untuk mengerti bahawa anaknya Mek Jah telah berjaya menamatkan pengajiannya di universiti dalam bidang pendidikan. Mek Jah bakal dianugerahi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.Wak Da masih tidak menyedari anaknya Mek Jah selepas ini akan bergelar 'cikgu.' Wak Da langsung tidak dapat mengerti, apatah lagi berkongsi kegembiraan ini. Wak Da tidak pernah tahu, anaknya Mek Jah yang pemah dikenalinya sebagai lembab, tidak reti, tidak pandai dan kemudiannya berhenti sekolah boleh berjaya sejauh itu. Ngah Jenab kesal kerana gagal menyedarkan Wak Da untuk mengerti tentang itu.
Mata Ngah Jenab meliar meneliti barisan graduan berjubah ungu labuh berbaris menerima anugerah masing-masing. Wajah Mek Jah masih tidak kelihatan. Ngah Jenab cuba meninjau-ninjau dalam kalangan ribuan manusia berjubah yang sedang duduk mengisi ruang dalam dewan itu kalau-kalan ditemui Mek Jah. Mek Jah tetap tidak kelihatan.
Ngah Jenab kembali mengelamun membayangi kehidupan Mek Jah yang penuh getir.
“Mak ... Mek ...Mek nak ... nak ...nak...!”
“Apa ni Mek Jah ... tergagap-gagap. Cakap sajalah! ...nak apa? Ngah Jenab mendesak. Keanehan kelakuan Mek Jah dini hari mengusik perasaannya.
“Mek .. tak nak ke sawah hari ini!”… terpacul keluar kata-kata dari bibir Mek Jah. Ngah Jenab termanggu kehairanan. Mek Jah tidak pernah berkelakuan aneh seperti itu. Mek Jah tidak pemah mengajukan permintaan seperti itu. Selalunya Mek Jah mendahului semua orang turun ke sawah. Sejak berhenti sekolah dua tahun lalu, itulah satu-satunya kerja Mek Jah. Hampir semua kerja-kerja sawah Mek Jah lakukan dengan penuh rela. Mek Jah cekap buat kerja-kerja sawah.
“Kau sakit ke Mek?” Ngah Jenab tidak sabar-sabar mencari sebab tentang keanehan kelakuan Mek Jah pagi itu.
“Tidak!” Ujar Mek Jah ringkas. Jawapan yang sukar dimengerti oleh Ngah Jenab. Ngah Jenab semakin keliru.
“Habis kenapa?” Ngah Jenab semakin mendesak.
“Mek nak sekolah!” Ujar Mek Jah penuh yakin.
“Apa? .... sekolah!" Wak Da yang sejak tadi berdiam diri turut terasa keanehan yang berlaku pagi itu.
“Ya... ayah. Mek nak sekolah ... Mek nak sekolah semula.” Mek Jah cuba meyakinkan ayahnya, Wak Da. Ngah Jenab masih tidak mengerti. Mengapa Mek Jah tiba-tiba saja nak ke sekolah. Mengapa Mek Jah tiba-tiba saja hendak merobah cara hidupnya. Mengapa Mek Jah tiba-tiba sahaja merasakan dirinya perlu bersekolah. Kenapa baru sekarang Mek Jah terfikir nak ke sekolah. Mengapa tidak sebelum ini. Ngah Jenab semakin tidak mengerti.
“Tapi... kau nak sekolah di mana? Mana boleh sekolah .. kau dah berhenti. Kalau dah berhenti ... mana boleh sekolah!” Wak Da cuba menafikan keinginan Mek Jah. Keinginan Mek Jah benar-benar akan merobah rutin harian Wak Da dan Ngah Jenab. Keinginan Mek Jah sedikit sebanyak meninggalkan kesan terhadap kerja-kerja rutin di sawah. Keinginan Mek Jah, jika dilayan akan memaksa Wak Da melakukan kerja-kerja sawah yang sebelum ini diselesaikan oleh Mek Jah. Keinginan Mek Jah jika dilayan akan memaksa Ngah Jenab turun dapur lebih kerap bagi melakukan tugas-tugas yang sebelumnya dilakukan oleh Mek Jah. Mek Jah buat segala-galanya. Mek Jah melakukan apa sahaja untuk Wak Da dan Ngah Jenab. Wak Da dan Ngah Jenab benar-benar terasa terancam dengan keputusan Mek Jah itu.
“Kau tak nak ke sawah lagi?” Ngah Jenab cuba mendapat kepastian.
“Bukan macam itu mak ... Mek hanya nak ke sekolah. Mek nak sekolah macam abang dan kakak. Mek nak ....”
“Eleh .... cakap saja kerja aku dan kerja mak kau ni jijik...kotor...kolot … hina!” Wak Da mula membebel. Mek Jah diam. Hati kecimya amat tersentuh. Tidak terfikir olehnya bahawa keinginan itu telah mengguris perasaan kedua orang tuanya. Tetapi itulah keputusannya. Keputusan yang telah difikir masak-masak sebelum ini. Wajah Timah ...wajah Joyah dan wajah Minah tiba-tiba sahaja menerjah masuk dalam ingatannya.
“Mek Jah ni nak jadi petani moden kut!” Joyah bersuara sambil menjueh kedua bibirnya ke hadapan. “Yelah ... orang tak reti... orang bengong macam dia ni mana layak nak pi ke lain... ke sawah sajalah tempatnya.” Sambung Timah pantas. Minah ketawa. Joyah, Timah dan Minah turut ketawa berderai. Mek Jah diam. Dia rasa amat terhina.
“Eh..eh... Mek Jah tengah tunggu SPM la katakan.” Joyah menambah. “Hah...SPM?... hebat!.... tapi bila pula dia ambil SPM?” Timah mencelah.
“Eleh...SPM...Sementara Padi Masak!” Joyah memaknakan. Mereka ketawa lagi. Mek jah benar-benar rasa terhina dibuat begitu. Joyah, Timah dan Minah berasa cukup puas dapat kenakan Mek Jah kali ini. Mek Jah hanya diam. Dia terasa amat tercabar diperlakukan begitu.
“Eh..eh...bukan SPM ... tapi SMP ... Sijil Menanti Peminangan!!” Joyah menambah. Timah dan Minah ketawa. Mek Jah terus menerus diam. Tidak diduga dia boleh diperlakukan begitu oleh kawan-kawannya sendiri. Mek Jah bangun meninggalkan kelompok kawan-kawannya yang masih mengilai ketawa. Mek Jah bertekad untuk terus mengasingkan diri dari Minah, Joyah dan Timah yang sering kali mempersendakannya begitu. Paling penting Mek Jah bertekad untuk berbuat sesuatu. Paling tidak Mek Jah tidak boleh dipersendakan begitu rupa. Dirinya tidak boleh diperlekeh sebegitu rupa. Mek Jah benar-benar bertekad.
“Mak ... ayah ... bagilah Mek peluang. Biarlah Mek sekolah semula...Mek akan cuba... Mek akan cuba!...” Mek Jah cuba membujuk. Ngah Jenab benar-benar terharu. Wak Da turut berasa serba salah kerananya.
“Memang sah! … Mek Jah tidak akan datang! ... memang Mek Jah dah lupakan kita.” Wak Da meracau. Lamunan Ngah Jenab terhenti. Wajah tua Wak Da direnungnya sungguh-sungguh. Kedut-kedut pada kulit Wak Da menyembunyikan seribu satu macam kesengsaraan, pahit-maung kehidupan masa lampau yang dilaluinya bersama.
“Mek Jah akan datang...dia akan datang. Gilirannya akan tiba juga.” Ngah Jenab terus berusaha meyakinkan Wak Da. Wak Da menghela nafas panjang. Keresahannya semacam tidak boleh ditahan-tahan lagi. Wajah Mek Jah membayang.
“Ya laa ... tapi bila? Mek Jah macam tidak mahu datang. Mek Jah memang tak mahu datang. Dia tidak mahu ke sawah ... dia tidak mahu kerja sawah...dia hina aku ... dia hina keturunan akuuuu!” Wak Da meracau lagi. Kali ini suaranya semakin meninggi. Hadirin yang ada memerhati. Ngah Jenab segera menekapkan tangannya ke mulut Wak Da yang tercungap-cungap kepenatan menahan keresahan. Wak Da diam. Ngah Jenab berasa lega. Matanya meliar mencari kalau-kalau ada yang masih memerhati gelagat mereka suami isteri. Sesekali direnungnya wajah-wajah para graduan yang segak bergaya menerima sarjana masing-masing. Matanya mencari-cari kalau-kalau di antara mereka itu ada wajah Mek Jah. Dia kecewa. Matanya kembali merenung wajah Wak Da. Wajah tua Wak Da direnungnya puas. Wajah yang resah... wajah yang sentiasa berasa kehilangan sejak Mek Jah membuat keputusan untuk ke sekolah semula...wajah yang sentiasa gelisah sepanjang peninggalan Mek Jah ke universiti... wajah yang sentiasa tenang menghadapi pahit maung kehidupan. Ngah Jenab cukup bangga hidup bersama Wak Da…suami yang cukup mengerti.
Tiba-tiba nama Mek Jah disebut orang. Ngah Jenab keriangan. Matanya meliar memerhati tubuh tinggi lampai Mek Jah tunduk penuh sopan mencapai anugerah. Tangan kiri Ngah Jenab terus-menerus menepuk, menampar dan sesekali menggoncang tubuh Wak Da. Kegembiraan ini perlu dikongsi bersama. Kejayaan Mek Jah perlu diraikan bersama. Semakin kuat goncangan Ngah Jenab…Wak Da perlu dibangunkan. Namun, Wak Da diam. Wak Da terus diam. Diam terus meregut kegembiraan Ngah Jenab sepanjang hayat. Mek Jah termanggu di sisi Ngah Jenab. Kegembiraannya semakin menjauh. Dunia sekeliling terasa gelap gelita. “Inilah anugerah Tuhan Yang Maha Esa untuk menguji kesabaran umat manusia!”, bisik Mek Jah sendirian.

Saturday, August 15, 2009

Kesusasteraan tradisional Melayu semakin terancam?

Sejarah kesusasteraan tradisional Melayu lambat laun akan ditatapi dalam bentuk yang amat jauh terpisah daripada bentuknya yang asal, sebagaimana yang terakam dalam khazanah manuskrip. Ini kerana sejarah kesusasteraan tradisional Melayu sejak kebelakangan ini, terutamanya dalam kalangan pelajar yang belajar kesusasteraan Melayu di sekolah dan universiti mempelajarinya bukan daripada sumbernya yang asal. Bahkan sistem ejaan dan tulisan Jawi tradisional yang mendominasi mengungkapkan kesusasteraan tradisional Melayu itu juga semakin tidak dikenali.
Kesusasteraan tradisional Melayu di sekolah dan universiti, terutamanya melibatkan aspek kajian teks, sama ada karya agung seperti Hikayat Raja Pasai, Sejarah Melayu: mahupun puisi tradisional Melayu seperti pantun, gurindam, dan syair diajar berdasarkan teks yang telah dirumikan. Ini bermakna pelajar kesusasteraan Melayu sama ada di sekolah mahupun di universiti sekadar didedahkan kepada teks kesusasteraan tradisional Melayu yang telah dirumikan daripada manuskrip asalnya yang ditulis dengan menggunakan sistem ejaan dan tulisan Jawi. Keadaan ini menjadi semakin kompleks berikutan langkah Dewan Bahasa dan Pustaka memperkenalkan sistem ejaan dan tulisan Jawi yang telah disempurnakan yang tentunya sedikit banyak telah merombak sistem ejaan dan tulisan Jawi itu sendiri.

Fenomena ini jika dibiarkan berlarutan dijangka akan menyebabkan teks kesusasteraan tradisional Melayu dalam konteksnya yang asal akan semakin jauh daripada khalayaknya. Ini kerana menurut pandangan pelajar (kerana tidak diperkenal teks kesusasteraan tradisional Melayu dalam bentuknya yang asal) teks kesusasteraan tradisonal Melayu versi rumi itulah dokumen yang sah. Malah, kerana yang diperkenalkan kepada mereka ialah sistem ejaan dan tulisan Jawi yang disempurnakan itu, maka manuskrip kesusasteraan tradisional Melayu yang terus kekal dalam bentuknya yang asal mengguna pakai sistem ejaan dan tulisan Jawi tradisional Melayu akan terus tersimpan dalam khazanah klasik di Perpustakaan Negara Malaysia. Macam biasa, kita akan terus berbangga bahawa kitalah, bangsa Melayu yang begitu berdaya menghasilkan puluhan ribu manuskrip kesusasteraan tradisional Melayu! Demikian juga, kita begitu gah mendabik dada bahawa dengan sistem ejaan dan tulisan Jawi itulah kita berjaya membina tamadun dan peradaban yang begitu berjaya di Alam Melayu. Bahkan, tanpa segan silu kita juga mengaku dengan penuh bangga bahawa melalui sistem ejaan dan tulisan Jawi itulah, bahasa Melayu terangkat menjadi lingua franca, berfungsi menyebarkan tradisi keilmuan Islam sehingga kemudiannya dikatakan telah mencapai tahap global jauh labih awal berbanding dengan konsep globalisasi itu sendiri (bagi sesetengah orang, konsep ini mula dikenali setelah istilah liberalisasi dan modenisasi diguna pakai sebaik-baiknya).

Demikianlah, sebagaimana selalu kita begitu berbangga dengan ungkapan dan istilah, khazanah dan pusaka zaman, tangkal dan azimat sehingga akhirnya kita menjadi manusia Melayu yang selalu mengenang-ngenangkan mengenai kalimat dan ungkapan, mantera dan jampi sebagaimana kita tidak pernah jemu-jemu melafazkan ungkapan yang kita anggap keramat bahawa Tak Melayu Hilang Di Dunia dan dengannya kita terus yakin bahawa Keris Taming Sari akan terus berkuasa dan berwibawa. Justeru kita tidak perlu takut dan bimbang, meskipun kesusasteraan tradisional Melayu semakin terancam, kita terus yakin bahawa khazanah Melayu itu akan terus terakam dan tersimpan sebagaimana adanya. Kita terus bangga dan syok sendiri, kerana kita masih ada segala-galanya, meskipun sekadar catatan cuma.

Saturday, August 8, 2009

Sayang tulisan Jawi

Tulisan Jawi sejarahnya sejah lama dulu begitu menyumbang membina tamadun dan peradaban di Alam Melayu. Pun demikian, sejak lama dulu tulisan Jawi mula dilupai sumbangan dan peranannya. Bahkan langkah memperbaru sistem ejaan dan tulisan Jawi yang menonjolkan sistem ejaan yang sedkit jauh berbaza dari sistem ejaan dan tulsian yang terdapat dalam manuskrip Melayu terdahulu menyebabkan masnuskrip lama yang terasimpan di arkib, perpustakaan negara akan terus jauh ketinggalan dari arus perdana pembangunan negara.