Tuesday, December 2, 2008

Monolog

Dulu ... tika bicaramu tentang hidup
sendu terasa ... payah, resah dan gelisah
saudara-mara semakin menjauh ... sekadar menjeling,
paling tidak ... melahirkan rasa simpati ... simpati cuma,
kerana mereka anak baik-baik dari bangsa yang terbilang
kerana mereka orang berbangsa, berdaulat dan merdeka
kerana mereka tidak pernah menderita …
terjebak dalam kehidupan segetir ini.

Ya ... tentu saja ... sesiapa juga tidak mudah percaya
kerana penagih dadah:
hidup melarat, bangsat, merempat.
kerana penagih dadah
bangkai bernyawa ... sampah ... bersepah ... menyampah.

Penagih dadah – juga manusia biasa, tiada beza
punya daya, punya rasa, punya cinta
sesekali cuma, cuma sesekali tersesat di persimpangan
sesekali cuma, cuma sesekali... dan tidak berkali-kali.

Ayuhhhh ... siapa juga antara kalian yang bersedia
mahu saja kami kembali jadi kenalannya ... mahu saja
siapa-siapa juga ... kami bersedia
biar kami bercerita ... dengarkan, dengarkan
biar dunia tahu, biar semua orang tahu
bahawa kami masih punya harga diri.

Mana jalan pulang ... mahu saja kami kembali
tunjukkan, ayuh tunjukkan ... biar kami tahu

Mana tempat berteduh ... mahu saja kami berlindung
khabarkan, ayuh khabarkan ... biar kami menjadi tamunya

Mana penawar ...
mana jampinya ...
mana serapahnya
khabarkan, ayuh khabarkan ... agar kami segera sembuh
khabarkan, agar kami bisa merasai – hidup abadi.





2008