Wednesday, May 30, 2012

Nilai sebenar bahasa Melayu


Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu serta juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan tulisan.

Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris, kita sebenarnya telah merampas kemungkinan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kelak akan menjadi bahasa besar dan serba-boleh. Kajian oleh Open University di London yang meramalkan bahawa dalam tempoh 30 tahun akan datang, bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Dengan hal yang demikian, tugas dan tanggungjawab semua pihak perlu digembeling agar bahasa yang tua lagi indah ini,  bila tiba masanya  akan benar-benar menjadi bahasa dunia. Bahkan, kajian ini juga mendapati bahawa bahasa Inggeris tidak akan lagi menjadi bahasa pertama di dunia, sebaliknya sekadar berada di tempat ketiga, iaitu selepas Mandarin dan Sepanyol.

Mengapa bahasa Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik dan sains di sekolah dan universiti;

1.           Pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia boleh ditingkatkatkan melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran  bahasa Inggeris yang lebih baik dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Dengan merujuk kepada pengalaman negara Belanda, bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman hanya diperkenalkan diperingkat sekolah menengah. Lantaran kaedah pengajaran dan pembelajaran yang baik dan berkesan, maka selepas sekolah menengah pelajar-pelajar ini sudah boleh bercakap dan menulis dengan menggunakan bahasa-bahasa ini dengan baik, jauh lebih baik berbanding dengan pelajar Malaysia bertutur dengan menggunakan bahasa Inggeris (walau pun setelah 11 atau 13 tahun). Demikian juga, pengajaran bahasa di negara Denmark, Sweden dan Norway yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri, pada masa yang sama berkeupayaan menggunakan bahasa antarabangsa lainnya dengan baik.  Justeru,  seharusnya Scandinavia, Belanda dan Belgium mahupun Switzerland perlu dijadikan teladan dalam usaha meningkatkan kemahiran berbahasa antarabangsa dalam kalangan masyarakat di negara ini.

2.           Sebagaimana yang sering diulang penghujah Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang, termasuk sastera, bukan saja datang dari negara-negara berbahasa Inggeris,  sebaliknya juga daripada negara-negara bukan berbahasa Inggeris yang lainnya seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Switzerland dan India/ Bangladesh. Dengan hal yang demikian, yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa Inggeris tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan pula. Suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.

3.           Beberapa masalah negara kita bukan berpunca daripada penguasaan bahasa Inggeris yang kurang cekap, tetapi kepada budaya kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa di sekolah tetapi nampaknya agak kucar-kacir pentadbirannya, serta ekonomi dan ilmunya. Di sebaliknya di Malaysia Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa masyarakat dan negara ini jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi serta ilmu.

4.           Dengan keputusan ini dan penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini, dengan sendirinya kita telah menciptakan dua jenis warganegara di Malaysia. Pertama; menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan, Kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial, iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.

5.           Pada dasarnya, dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemas kini perlu disokong. Bahkan, pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa perlu disokong,  selain mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajar dalam sistem pendidikan di Malaysia. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa Malaysia kita perlu mempunyai sebuah bahasa persatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.

Dalam bandingan dengan warganegara Thailand atau Indonesia, rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaannya, tidak bangga dengan budayanya dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya, antara lainnya, ialah bahawa sastera dan budaya tidak menjadi mata pelajaran penting.

Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur dan rapi pelajar harus diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di semua negara Anglo-saxon, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di Malaysia anak-anak (dan sekarang ini orang dewasa) tidak pernah mengenali atau membaca karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang Tuah atau Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis bangsa Melayu / Malaysia, nilai-nilainya dan juga jati dirinya.

6.           Sekarang ini penguasaan bahasa Melayu sedang lemah di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara, media masa dan kehidupan secara amnya. Sekiranya bahasa ini tidak diberikan ruang untuk hidup dalam dunia dan disiplin baru dan mencabar, dengan sendirinya bahasa Inggeris akan masuk menjajah kembali, dan kita kan menjadi tidak lebih dari pengguna dan peminjam bahasa dan konsep-konsep yang tersimpan dalam bahasa itu. Sementara itu konsep-konsep tempatan, keindahannya, muziknya akan hilang dari bangsa Melayu yang diamanahkan untuk mewarisinya.

Banyak lagi hujah yang dapat saya tuliskan. Tetapi hujah-hujah yang telah diturunkan ini, saya rasa mencukupi untuk kesempatan ini. Saya amat berharap bahawa bahasa kebangsaan kita akan kembali diberikan martabat ilmu, makna jati diri dan budayanya, seperti selayaknya sebuah bahasa besar dan tua.  Sesuatu bangsa yang tidak menghormati bahasanya biasanya tidak dihormati oleh bangsa lain yang menghormati bahasanya sendiri.

No comments: