Monday, May 28, 2012

Fungsi bahasa Melayu


Pengenalan

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan.  Akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut “Bahasa Kebangsaan negara ini ialah Bahasa Melayu”.  Sebagai bahasa kebangsaan negara baru yang berdaulat,  bahasa Melayu ditambah peranan atau fungsinya sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi. Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu, akan melahirkan  rasa cinta terhadap bahasa Melayu.  Hal ini akan mendorong anda untuk mempelajari, menghayati, menguasai dan menggunakannya dengan berkesan. Selain itu, anda sebagai rakyat Malaysia akan berasa bangga akan bahasa kebangsaan negara ini kerana bahasa ini merupakan lambang jati diri dan kedaulatan negara.  Sesungguhnya, pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu ini dapat mewujudkan persefahaman pemikiran dan tindak-tanduk kita dalam kehidupan seharian.

Konsep:

·              Bahasa  Kebangsaan 
         Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diberi fungsi untuk menunjukkan identiti kebangsaan bagi sebuah negara.

 ·                 Bahasa Rasmi
Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam urusan-urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan.
  
·                   Bahasa Perpaduan
Bahasa perpaduan ialah satu bahasa yang digunakan dalam sesebuah negara bagi tujuan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum (majmuk).
  
·                  Bahasa Pengantar
Bahasa pengantar ialah bahasa yang digunakan di peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

 ·                   Bahasa Ilmu
Bahasa ilmu ialah bahasa yang digunakan di sekolah-sekolah dan di institusi-institusi pengajian tinggi.

 ·                   Bahasa Komunikasi
Bahasa komunikasi ialah bahasa yang digunakan untuk berhubung dalam pelbagai bentuk dan situasi.

Latihan

(a)          Dengan merujuk bahan multimedia, huraikan pelbagai fungsi bahasa Melayu di negara kita.
(b)          Dengan sokongan pengurusan grafik,  banding bezakan pelbagai fungsi bahasa Melayu Layari laman web untuk mendapatkan maklumat tambahan
(c)          Hubungkaitkan peranan bahasa Melayu dengan jati diri rakyat Malaysia dan wawasan negara. Dapatkan seberapa banyak maklumat sama ada daripada perpustakaan atau pusat sumber yang berdekatan.

Bibliografi
Aziz Deraman (1974) Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia.  Kuala Lumpur: CahayaPantai (M) Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abd. Aziz (1998) Pengajian Melayu 5 dan 6 Pemulihan dan Pengayaan, Pengurusan Sumber) (Budaya dan Masyarakat Malaysia).  Kuala Lumpur:  Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mohd. Taib Osman dan Wan Kadir Yusoff (1987) Kajian Budaya dan Masyarakat di  Malaysia.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Taib Osman (1988)  Kebudayaan Melayu dalam Beberapa Persoalan.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Taib Osman (1988) Bunga Rampai Kebudayaan Melayu.  Kuala Lumpur: Dewan   Bahasa dan Pustaka.

No comments: