Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium
untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep
alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu serta
juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan
tulisan.
Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris,
kita sebenarnya telah merampas kemungkinan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan kelak akan menjadi bahasa besar dan serba-boleh. Kajian oleh Open
University di London yang meramalkan bahawa dalam tempoh 30 tahun akan
datang, bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Dengan hal
yang demikian, tugas dan tanggungjawab semua pihak perlu digembeling agar
bahasa yang tua lagi indah ini, bila
tiba masanya akan benar-benar menjadi
bahasa dunia. Bahkan, kajian ini juga mendapati bahawa bahasa Inggeris tidak
akan lagi menjadi bahasa pertama di dunia, sebaliknya sekadar berada di tempat ketiga,
iaitu selepas Mandarin dan Sepanyol.
Mengapa bahasa Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik
dan sains di sekolah dan universiti;
1.
Pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di
sekolah-sekolah di Malaysia boleh ditingkatkatkan melalui kaedah pengajaran dan
pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih
baik dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Dengan merujuk kepada
pengalaman negara Belanda, bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman hanya
diperkenalkan diperingkat sekolah menengah. Lantaran kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang baik dan berkesan, maka selepas sekolah menengah
pelajar-pelajar ini sudah boleh bercakap dan menulis dengan menggunakan
bahasa-bahasa ini dengan baik, jauh lebih baik berbanding dengan pelajar
Malaysia bertutur dengan menggunakan bahasa Inggeris (walau pun setelah 11 atau
13 tahun). Demikian juga, pengajaran bahasa di negara Denmark, Sweden dan
Norway yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri, pada masa yang sama berkeupayaan
menggunakan bahasa antarabangsa lainnya dengan baik. Justeru, seharusnya Scandinavia, Belanda dan Belgium
mahupun Switzerland perlu dijadikan teladan dalam usaha meningkatkan kemahiran
berbahasa antarabangsa dalam kalangan masyarakat di negara ini.
2.
Sebagaimana yang sering diulang penghujah
Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang, termasuk sastera, bukan saja datang
dari negara-negara berbahasa Inggeris, sebaliknya juga daripada negara-negara bukan berbahasa
Inggeris yang lainnya seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Switzerland
dan India/ Bangladesh. Dengan hal yang demikian, yang mencemerlangkan mereka
bukanlah bahasa Inggeris tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan
eksperimen yang penuh tekun dan berterusan pula. Suasana ilmu adalah faktor
penting yang menggerakkan mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.
3.
Beberapa masalah negara kita bukan berpunca
daripada penguasaan bahasa Inggeris yang kurang cekap, tetapi kepada budaya
kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat. Terdapat banyak negeri
yang pernah dijajah Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa di
sekolah tetapi nampaknya agak kucar-kacir pentadbirannya, serta ekonomi dan
ilmunya. Di sebaliknya di Malaysia Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
telah membawa masyarakat dan negara ini jauh ke dalam dunia industri, sains dan
teknologi serta ilmu.
4.
Dengan keputusan ini dan penggunaan bahasa
Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini, dengan sendirinya kita telah
menciptakan dua jenis warganegara di Malaysia. Pertama; menguasai bahasa
Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan, Kedua, warganegara yang berbahasa
Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial, iaitu
bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.
5.
Pada dasarnya, dasar yang membuka mata dan ilmu
pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemas kini perlu disokong. Bahkan,
pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa perlu disokong, selain mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa
antarabangsa diajar dalam sistem pendidikan di Malaysia. Namun untuk
perkembangan budaya dan jati diri bangsa Malaysia kita perlu mempunyai sebuah
bahasa persatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat
Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda
pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.
Dalam bandingan dengan warganegara Thailand
atau Indonesia, rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaannya, tidak
bangga dengan budayanya dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya, antara lainnya,
ialah bahawa sastera dan budaya tidak menjadi mata pelajaran penting.
Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur
dan rapi pelajar harus diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu
di peringkat sekolah rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di
semua negara Anglo-saxon, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di
Malaysia anak-anak (dan sekarang ini orang dewasa) tidak pernah mengenali atau
membaca karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang
Tuah atau Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis bangsa Melayu / Malaysia,
nilai-nilainya dan juga jati dirinya.
6.
Sekarang ini penguasaan bahasa Melayu sedang lemah
di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara, media masa dan
kehidupan secara amnya. Sekiranya bahasa ini tidak diberikan ruang untuk hidup
dalam dunia dan disiplin baru dan mencabar, dengan sendirinya bahasa Inggeris
akan masuk menjajah kembali, dan kita kan menjadi tidak lebih dari pengguna dan
peminjam bahasa dan konsep-konsep yang tersimpan dalam bahasa itu. Sementara
itu konsep-konsep tempatan, keindahannya, muziknya akan hilang dari bangsa
Melayu yang diamanahkan untuk mewarisinya.
Banyak lagi hujah yang dapat saya tuliskan.
Tetapi hujah-hujah yang telah diturunkan ini, saya rasa mencukupi untuk
kesempatan ini. Saya amat berharap bahawa bahasa kebangsaan kita akan kembali
diberikan martabat ilmu, makna jati diri dan budayanya, seperti selayaknya
sebuah bahasa besar dan tua. Sesuatu
bangsa yang tidak menghormati bahasanya biasanya tidak dihormati oleh bangsa
lain yang menghormati bahasanya sendiri.
No comments:
Post a Comment