Pengenalan
Bahasa amat erat hubungannya
dengan manusia dan kebudayaan. Bahasa sering dikatakan sebagai akar budaya atau
bahasa secara simboliknya merupakan akar budaya sesuatu bangsa. Ada yang berpendapat
bagi menggambarkan betapa eratnya hubungan antara bahasa dan kebudayaan ini
bahawa dalam sesuatu bahasa terjalin suatu pola perlakuan, kebendaan,
kepercayaan, pengetahuan, sikap, dan norma sesuatu masayarakat. Malah lebih jelas
dari itu bahasa merupakan suatu ‘communion’ perhubungan antara manusia dengan
nilai-nilai sosio-budaya (Koentjaraningrat, 1975). Pengamal budaya adalah
manusia. Oleh itu, manusia yang berbudaya adalah manusia yang mempunyai bahasa.
Sebab itu, dari perspektif bahasa, manusia yang sempurna adalah manusia yang
berbudaya. Bahasa yang digunakan oleh penuturnya dan pemakainya merupakan
ekspresi budaya sehingga dengan demikian pengucapan mahupun pemakaiannya
mencerminkan jati diri bangsa maupun individu pemakainya. Dari perspektif
budaya pula, bahasa dianggap sebagai;
a)
hasil karya dan aktiviti manusia
pendukung budaya tersebut,
b)
ekspresi jatidiri manusia dan
budaya,
c)
himpunan gagasan, nilai, norma,
dan kebijaksanaan yang disepekati dan dilaksanakan oleh masyarakat
pendukungnya,
d)
rasa kebanggaan tersendiri bagi
manusia pendukung budaya maupun penutur dan pemakai bahasa tersebut.
Dalam konteks
perbincangan kita, bahasa Melayu memang sudah sejak kewujudannya lagi merupakan
milik bangsa Melayu yang menjadi komponen utama pencerna bangsa Melayu. Bahasa Melayu
menjadi suatu khazanah yang diwariskan turun temurun sehingga mampu menjadi
bahasa besar yang bukan lagi milik bangsa Melayu semata-mata tetapi sudah
menjadi milik bersama bangsa-bangsa penggunanya dengan status ‘bahasa milik bersama’.
Namun sebagai khazanah warisan budaya bangsa Melayu, apakah bahasa Melayu akan
tetap utuh bertahan seperti hari ini apabila dirempuh gelombang globalisasi
yang semakin hari semakin mengganas. Jawapannya terletak di tangan kita sebagai
pemilik waris. Jika kita mahu tetap menganggapnya sebagai sebuah khazanah
warisan budaya yang berharga, tentu setiap virus yang dibawa oleh globalisasi
yang memungkinkan memberi impak apa jua bentuk kemerosotan kepada bahasa Melayu
akan dihindari dan diusahakan mencari jalan cara penyelesaianya kerana
kewibawaan atau kekukuhan sesebuah bahasa itu sangat erat hubungannya dengan
pemilik dan pengguna bahasa itu. Globalisasi boleh diterima tetapi bukan untuk
mendominasi kehidupan apatah lagi memusnahkan entiti kesatuan budaya.
Globalisasi
Kita sering menyalahkan
globalisasi sebagai pembawa virus yang rempuhannya boleh mengubah sistem amalan
kebiasaan dalam semua aspek kehidupan tidak terkecuali terhadap aspek bahasa. Tetapi
kita lupa bahawa globalisasi merupakan salah satu tahap perjalanan bagi sebuah
pusingan meniti zaman. Globalisasi mempromosi dan menawarkan pelbagai bentuk
pembaharuan yang boleh saja dalam bentuk ide, sistem nilai, sosial, politik, ekonomi,
pandangan hidup, sikap, falsafah, visi dan misi dalam kehidupan.
Globalisasi
menekankan kemajuan. Kemajuan pula sering diukur berdasarkan bagaimana tahap
pencapaian sesebuah negara itu dalam bidang sains dan teknologi, dan juga berdasarkan
tahap pencapaian ekonomi sesebuah negara itu dengan mengambil kira hal-hal
berikut; berapa kadar pertumbuhan ekonomi, berapa banyak nilai ekspot, berapa jumlah
pendapatan dan pengeluaran kasar, berapa pendapatan perkapita, berapa jumlah
penggnaan tenaga dan bahan api, berapa ramai gologan profesionalseperti
jurutera, jurubina, juruukur, akitek, akauntan, doktor, peguam, ahli sains,
pakar teknologi dan pekerja mahir, berapa jumlah institusi dan pusat pengajian
tinggi yang mengeluarkan para teknologis, pengurus perniagaan dan pentadbiran
dan berapa banyak peralatan canggih yang dicipta dan digunakan yang boleh
mengeluarkan hasil yang banyak, cepat dan terkini, berapa banyak taman
teknologi dan perindustrian, berapa banyak pembinaan hotel, ruang pejabat, kompleks
membeli belah, kondominium dan kawasan perumahan dan berapa pesat dan tingginya
teknologi “hi-tech” yang dicapai dalam industri pembuatan, pembinaan,
automobil, pesawat penerbangan, perkapalan dan angkasa lepas (Hashim Musa,
1995).
Namun begitu hingga
kini, ukuran kemajuan berdasarkan penguasaan bahasa Inggeris belumlah jelas diperkatakan
kerana ada negara maju dunia hari ini seperti Jepun tetap maju dan berkembang
dari segi penguasaan ekonomi, dan sains dan teknologi tanpa bahasa Inggeris.
Biarpun begitu, apa yang jelas kita boleh katakan bahawa globalisasi secara
langsung ataupun tidak langsung tetap mempromosi bahasa Inggeris kerana bahasa
Inggeris kini mendominasi komunikasi dan informasi global. Dengan dominasi ini,
bahasa Inggeris telah menjadi bahasa global (Collins, 1999) dan mampu menawan minda
sebahagian besar warga dunia sehingga sebahagian besar negara bangsa menjadikan
bahasa Inggeris sebagai bahasa yang mesti dimiliki dan dikuasai oleh warga
bangsa mereka.
Wajah pemikiran
seperti ini hampir mendunia sehingga tidak ada sukarnya menduniakan bahasa
Inggeris yang kesan negatifnya menawan minda peminjamnya sehingga meminggirkan
bahasa ibunda yang sudah sekian lama menjadi warisan budaya bangsa. Ini namanya
memusnahkan entiti kesatuan budaya. Redakah kita melihat bahasa Melayu
terpinggir gara-gara ‘minda tertawan’ oleh promosi globalisasi.
Walaupun pada
hakikatnya globalisasi tidak mengundang dunia untuk membentuk keserupaan dan keseragaman
untuk semua namun dari segi bahasa manusia terundang untuk memilikinya justeru
tanpa memilikinya ia merupakan sebuah kecacatan. Ini merupakan suatu bukti
bahawa globalisasi memaksa warga dunia memiliki yang satu iaitu, bahasa
Inggeris. Mahu tidak mahu, sedar tidak sedar, secara perlahan memiliki dan
menguasai bahasa Inggeris akan memerosotkan keyakinan dan cinta terhadap bahasa
Melayu jika tidak diimbangi dengan suntikan kesedaran bahawa bahasa Melayu
adalah khazanah berharga warisan budaya bangsa. Jika ini sudah kita tanamkan pasti
rempuhan badai gelombang globalisasi tidak akan mampu memerosotkan rasa cinta
dan yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu.
Kesan-kesan
globalisasi terhadap bahasa Melayu
Seperti yang diperkatakan sebelum
ini, globalisasi menekankan kemajuan yang berdasarkan penguasaan sains dan
teknologi, serta penguasaan ekonomi. Bahasa sains dan teknologi ialah bahasa
Inggeris, dan bahasa ekonomi di peringkat global ialah bahasa Inggeris. Oleh
itu, globalisasi mempromosi bahasa Inggeris. Hari ini semua negara bangsa
mengejar kemajuan. Oleh itu, untuk maju mesti menguasai sains dan teknologi,
dan mantap ekonominya. Dengan tuntutan ini, mahu tidak mahu, sama ada secara
terpaksa atau tidak, bahasa Inggeris perlu dikuasai oleh sebuah negara bangsa
itu. Tuntutan ini perlu dipenuhi jika tuntutan ingin maju mahu dicapai.Tidak
terkecuali kepada negara-negara berbahasa Melayu seperti Brunei, Malaysia dan Indonesia
yang memang sudah sekian lama sejak wujudnya tamadun bangsa menjadikan bahasa
Melayu sebagai warisan budaya bangsa yang berharga.
Untuk memastikan
bahasa Inggeris dikuasai sebaiknya bagi mempermudah memahami perkembangan ilmu
yang ada hubugannya sains dan teknologi, dan seterusnya nanti akan mampu
berpartisipasi dalam percaturan ekonomi dunia beberapa langkah telah
dilaksanakan. Yang pertama dilihat sebagai asas bagi pencapaian penguasaan
bahasa Inggeris ialah sistem pendidikan.. Dalam konteks Negara Brunei
Darussalam, sejak tahun 1985, mula diperkenalkan Sistem Pendidikan Negara Brunei
Darussalam yang mengubah dari sistem dua aliran, iaitu aliran Melayu dan aliran
Inggeris kepada sistem dwibahasa (Mataim, 1995). Sistem ini mengurangkan fungsi
bahasa Melayu dalam bidang pendidkan di Negara Brunei Darussalam1. Biarpun begitu,
dari segi statusnya sebagai bahasa rasmi negara memang tetap utuh dan mantap
kerana kedudukannya memang sudah dimaktubkan dalam Perlembagaan Negeri Brunei
1959 yang antara lain menyatakan “Bahasa rasmi negeri ini ialah bahasa Melayu
dan hendaklah ditulis dengan huruf yang ditentukan oleh undang-undang
bertulis.”
Sistem ini
secara langsung bukanlah bertujuan untuk mempertingkatkan pencapaian bahasa
Inggeris di kalangan pelajar-pelajar Brunei semata-mata. Tetapi kita juga boleh
membuat tafsiran bahawa secara tidak langsung penguasaan bahasa Inggeris adalah
ditekankan dalam Sistem pendidikan Dwibahasa ini. Ini dapat dilihat melalui
maksud konsep dwibahasa dalam Sistem Pendidikan Negara Brunei Darusalam, iaitu;
a)
Konsep dwibahasa ialah satu cara
bagi mendaulatkan bahasa Melayu di samping tidak mengabaikan kepentingan bahasa
Inggeris, dengan demikian kemahiran dalam kedua-dua bahasa tersebut akan dapat
dicapai melalui Sistem Pendidikan Negara Brunei Darussalam,
b)
Perkiraan terhadap bahasa
Inggeris dibuat semata-mata dengan maksud akademik jua, iaitu bagi memudahkan
pelajar-pelajar Brunei memasuki tempat-tempat pengajian tinggi di luar negeri
yang berpengantar bahasa Inggeris.
[Sila lihat Mataim (1995) yang
membincangkan dengan berdasarkan jadual waktu mengenai perbandingan penggunaan
bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris di seluruh peringkat pendidikan di Negara Brueni
Darussalam. Kesimpulan perbincangan itu mengatakan bahawa semakin tinggi
tingkat pendidkan itu , maka semakin sedikit fungsi bahasa Melayu itu sebagai
bahasa pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai bahasa pengungkap ilmu.]
Ini diperkuat
lagi dengan cara pelaksanaannya yang menghendaki mana-mana mata pelajaran yang
tidak begitu rapat hubungannya dengan kebanyakan pengajian tinggi di luar
negeri akan disampaikan dalam bahasa Melayu sementara mata pelajaran yang
banyak bergantung kepada penggunaan bahasa Ingeris dalam pegajian tinggi di
luar negeri akan disampaikan dalam bahasa Inggeris.
Perubahan sistem
pendidikan ini secara langsung mengubah juga sikap sebahagian orang kita
terhadap bahasa Melayu terutama mereka yang terdedah dengan pendidikan barat
yang berpengantar bahasa Inggeris di luar negara. Sebahagian mereka sudah tidak
merasa bahawa bahasa Melayu itu merupakan warisan budaya bangsa yang berharga
sehingga kehilangannya pada diri mereka sudah tidak memberi kesan apa-apa
kepada mereka sama ada kesan emosi mahupun kesan sosial. Keyakinan mereka
tehadap kemampuan bahasa Melayu sudah semakin merosot. Pada hal bahasa Melayu
sudah sekian lama bukan hanya mampu mengungkapkan hal-hal yang berkaitan dengan
budaya ekspresif seperti kesusasteraan, bahkan telah mampu menjadi wahana
komunikasi budaya sainstifik dan teknikal. Pada mereka sudah tidak ada slogan
‘bahasa jiwa bangsa’ yang dulunya sering dilaung-laungkan oleh para pejuang dan
pencinta bahasa. Pada mereka bahasa Melayu bukan lagi menjadi jati diri bangsa.
Keadaan seperti inilah yang membimbangkan kita walaupun jumlahnya masih relatif
kecil tetapi dengan semakin mengganasnya badai globalisasi maka akan semakin meruncinglah
nanti keadaan ini.
Bahasa Melayu
mendepani globalisasi.
Globalisasi akan tetap sentiasa
berjalan dengan sifatnya menjadikan dunia semakin kecil tanpa dibatasi oleh
sempadan. Bahasa Inggeris tetap dominan sebagai bahasa telekomunikasi global.
Bahasa-bahasa minoriti akan kemerosotan fungsi di bumi sendiri kerana
sebahagian fungsinya sebagai bahasa ilmu dan bahasa telekomunikasi sudah
diganti oleh bahasa Inggeris. Jika dibiarkan, bahasa minoriti hanya akan mampu
menjadi bahasa pemantap budaya, tidak terkecuali bahasa Melayu di rantau ini. Oleh
itu, persaingan bahasa tidak seharusnya wujud kerana jika persaingan wujud
salah satu bahasa sudah pasti akan tewas. Dalam konteks kita tentulah bahasa
Melayu akan tewas kerana bahasa Inggeris tidak boleh disaingi sama ada dari
segi fungsi maupun dari segi prestijnya. Apa yang perlu kita tekankan sekarang
ialah kedua-dua bahasa seharusnya berjalan secara serentak dengan fungsi yang
berbeza iaitu bahasa Inggeris sebagai pemantap ilmu sementara bahasa Melayu
selain sebagai pemantap ilmu juga berfungsi sebagai pemantap budaya. Untuk menumbuhkan
konsep ini di kalangan masyarakat kita, penanganan secara bersama dan bersepadu
perlu dilakukan.
Pada hemat saya,
usaha pertama yang perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh ialah menyuntikkan
semangat cintakan bahasa Melayu di kalangan bangsa Melayu sendiri. Cabaran
utama yang kita hadapi sekarang ialah sikap sebahagian orang Melayu sendiri
yang masih belum menumpahkan rasa cintanya terhadap bahasa Melayu. Ini terbukti
dengan sikap mereka yang masih mengagung-agungkan bahasa Inggeris dengan
berbahasa Inggeris di tempat yang tidak sewajarnya mereka berbahasa Inggeris
dan lebih parah lagi mereka berbahasa Inggeris di acara-acara rasmi. Senario
ini selain bertentangan dengan tuntutan perlembagaan kita tetapi juga
bertentangan dengan tuntutan masyarakat setempat yang inginkan nilai-nilai
tempatan dipertahankan, diutamakan dan diperkembangkan.
Kita bukan anti
bahasa Inggeris malah kita mengalu-alukan kedatangan bahasa Inggeris kerana bahasa
Inggeris adalah bahasa sumber ilmu dan bahasa komunikasi global. Apa yang kita
inginkan ialah bahasa Melayu tetap menjadi bahasa rumah dan bahasa pergaulan
masyarakat dan bangsa kita. Kita tidak menghalang penggunaan bahasa Inggeris
untuk urusan-urusan antarabangsa dan global kerana hingga setakat ini bahasa Melayu
masih belum mampu menjadi bahasa pengantara untuk urusan-urusan di peringkat
antarabangsa dan global secara komprehensif. Apa yang kita perjuangkan sekarang
ialah berilah tempat bahasa Melayu di bumi majoriti Melayu dan bukan untuk menghalang
belajar dan menguasai bahasa Inggeris. Perjuangan kita agar bahasa Melayu tetap
dominan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, dan berfungsi selayaknya
sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bukan hanya di atas kertas berstatus
bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tetapi secara praktisnya tidak digunakan.
Memang disedari
bukan mudah untuk mengubah sikap tidak mengutamakan bahasa Melayu di kalangan
orang Melayu kerana sikap seperti ini terbina melalui satu proses yang panjang.
Selama proses ini berjalan mungkin tidak ada mekanisme pengimbang digunakan
agar sikap ini tidak mendarah daging. Pada hemat saya, mekanisme pengimbang
yang diperlukan ialah menyuntikkan kesedaran dan pemahaman kepada mereka bahawa
bahasa Melayu itu adalah warisan budaya bangsa mereka yang paling berharga di
samping menjadi jati diri bangsa. Menolak bahasa Melayu sebagai milik peribadi
bermakna mereka kehilangan khazanah warisan budaya bangsa yang berharga dan mereka
juga kehilangan jati diri bangsa.
Sikap meminggirkan
bahasa Melayu bukan hanya didorong oleh faktor pendedahan mereka kepada bahasa
Inggeris tetapi mungkin juga kerana kurang yakin mereka terhadap kemampuan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Oleh itu, bagi mengatasi masalah keyakinan
ini, kita harus menyedarkan dan meyakinkan kepada mereka bahawa bahasa Melayu
sudah sekian lama mampu menjadi bahasa pengungkap ilmu-ilmu moden yang relevan
dengan tuntutan globalisasi seperti. ilmu sains dan teknologi, ekonomi,
perundangan, falsafah, agama, diplomatik, pentadbiran antarabangsa dan
lain-lain.
Usaha-usaha
memantapkan kemampuan bahasa Melayu sudah berjalan bukan hanya digerakkan
secara bersendirian di negara masing-masing anggota MABBIM tetapi juga bergerak
secara bersama dengan mengadakan pertemuan-pertemuan bagi pengayaan
istilah-istilah ilmu moden dalam bahasa Melayu, membentuk buku-buku pedoman
seperti buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah dan Pedoman Umum
Pembentukan Ejaan Baru Bahasa Melayu. Buku tatabahasa bahasa Melayu juga sudah
diterbitkan sebagai pedoman dan panduan bagi penentuan bentuk yang baku seperti
Tatabahasa Dewan jilid I (Nik Safiah Karim dkk, 1986) dan Tatabahasa
Dewan jilid II (Nik Safiah Karim dkk, (1989) bagi Malaysia dan Tata
Bahasa Baku Bahasa Indonesia (Hassan Alwi, 1993) bagi Indonesia.
Satu lagi
langkah yang perlu kita lakukan bagi kelangsungan bahasa Melayu dalam mendepani
rempuhan globalisasi ini ialah dengan memaksa keterlibatan golongan ahli
politik berperanan sama. Dengan keterlibatan mereka secara tidak langsung imej perjuangan
lebih terangkat dan pengaruh mereka akan mendorong gerakan memperkasa dan
memasyarakatkan bahasa Melayu ini lebih berkesan. Nampaknya keterlibatan ahli
politik secara langsung di peringkat negara anggota MABBIM sudah bermula sejak
penandatanganan Komunike Bersama yang telah berlangsung di Jakarta pada 31
Julai 2006 yang lepas yang melibatkan Menteri Pelajaran Malaysia, Menteri
Pendidikan Nasional Republik Indonesia dan Menteri Perhubungan Negara Brunei Darussalam.
Kesepakatan daripada Komunike Bersama ini sudah pasti akan dapat lebih mudah
mensosialisasikan perjuangan pemerkasaan bahasa Melayu di negara-negara anggota
MABBIM kerana semangat daripada kesepakatan itu memfokuskan kepada tiga perkara
iaitu;
a)
memantapkan penggunaan bahasa
kebangsaan di negara masing-masing sesuai dengan kedudukan dan fungsinya
mempertinggi kemampuan bahasa Indonesia/Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan
dan teknologi serta sebagai salah satu bahasa utama dunia, dan
b)
meningkatkan mutu penggunaan
bahasa Indonesia/Melayu dalam bebagai-bagai lapisan masyarakat.
Komunike Bersama
ini tercetus setelah menyedari rempuhan globalisasi semakin membimbangkan
sehingga kelihatan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan
di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam semakin tercabar dan kecenderungan
pengguna untuk meminggirkan bahasa Melayu semakin jelas. Kini di ketiga-tiga negara
ini, iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, papan-papan tanda,
nama-nama kedai, nama-nama bangunan perniagaan dan ikan-iklan di tepi-tepi
jalan sudah banyak ditulis dalam bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Di
pejabat-pejabat kerajaan, sudah ada jabatan yang menyelanggara mesyuarat dalam
bahasa Inggeris, borang-borang, surat-surat makluman dan kontrak perniagaan
ditulis dalam bahasa Inggeris walaupun hanya melibatkan di kalangan orang-orang
Melayu atau penutur bahasa Melayu. Lebih membimbangkan lagi sudah semakin ramai
keluarga Melayu yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai komunikasi aktif dalam
keluarga dan juga sudah semakin ramai remaja Melayu menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa komunikasi harian mereka.
Kini ketiga-tiga
negara sudah dan akan mula melaksanakan sebahagian apa yang telah disepakati
dalam Komunike Bersama. Malaysia giat dengan kegiatan-kegiatan memperkasa
bahasa Kebangsaan melalui Jawatankuasa Eksekutif Memperkasa Bahasa Kebangsaan
yang memang sudah dibentuk sebelum Komunike Bersama ini ditandatangani,
Indonesia dengan kempen mengutamakan penggunaan bahasa Indonesia di ruang umum
dan Brunei Darussalam pula akan mengadakan Jerayawara ‘Utamakan Bahasa Melayu’.
ke kementerian-kementerian kerajaan, pihak swasta dan orang awam, dan juga akan
mengadakan sekali lagi forum perdana bahasa peringkat kebangsaan bagi tujuan
pelestarian bahasa Melayu di era globalisasi ini dengan memfokuskan khalayak
sasaran kepada golongan belia.
Selain strategi
di atas, usaha mengglobalkan bahasa Melayu perlu dipertingkatkan lagi agar
kapasiti penggunaannya lebih meluas lagi dan potensinya untuk menjadi bahasa
global di masa mendatang akan semakin jelas. Pusat-pusat pengajian Melayu di luar
negara perlu ditambah lagi dan penempatan pakar-pakar tempatan di
universiti-universiti ternama dunia juga perlu diperluaskan lagi agar dunia
Melayu khususnya bahasa Melayu akan mendapat tempat di kalangan warga dunia di
luar dunia Melayu. Dengan ini diharap globalisasi bukan hanya mempromosi bahasa
Inggeris, tetapi juga akan mempromosi bahasa Melayu nanti.
Dalam bahasa
Melayu mendepani rempuhan globalisasi, khazanah bahasa perlu ditonjolkan secara
praktis bagi mengimbangi tuntutan globalisasi yang boleh melunturkan rasa megah
dan setia terhadap bahasa Melayu. Dalam konteks ini, kita memiliki khazanah
yang paling penting iaitu Kamus Bahasa Melayu Nusantara. Kamus ini
selain sebagai manifestasi ketinggian tamadun bangsa tetapi juga sebagai
mekanisme pelestarian survival bahasa Melayu. Kamus ini yang mempunyai lebih
100 ribu entri menjadi pertanda bahawa bahasa Melayu kaya dengan kosa-kata dan
mampu mengungkapkan setiap disiplin ilmu.
Kesimpulan
Keperluan terhadap peneguhan
sikap kita terhadap bahasa Melayu sebagai warisan budaya bangsa yang paling
berharga menjadi lebih penting dan mendesak dalam konteks globalisasi kerana
jika tidak kita mungkin akan kehilangan jati diri dan nilai setempat.
Globalisasi hanya relevan dalam konteks pengilmuan masyarakat dan pemanfaatan
pelbagai maklumat terkini serta hasil reka cipta warga sedunia, tetapi tidak
dalam konteks pemuliharaan asas-asas khusus jati diri bangsa. Oleh itu, mendepani
rempuhan globalisasi secara bersepadu perlu dimulai. Kerjasama sekarabat negara
berbahasa Melayu perlu dipraktikkan secara lebih aktif. Diharap dengan
penandatanganan Komunike Bersama, perjuangan memperkasa dan mengutamakan bahasa
Melayu akan berjaya sehingga bahasa Melayu nanti akan tetap utuh dan mantap di
tengah-tengah badai globalisasi yang semakin mengganas.
Tulisan: Mataim
Bakar, Ph.D. Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei
Darussalam.
Rujukan
Collins, James
T. 1999. Wibawa Bahasa Kepiawaian dan Kepelbagaian. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Hashim Musa,
1995. “Pengintelektualan dan pendaulatan bahasa Malaysia sebagai bahasa
pertama: cabaran globalisasi maklumat, pendidikan dan teknologi.” Kertas kerja
yang dibentangkan dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia. Anjuran Dewan Bahasa dan
Pustaka Malaysia, pada 21-25 Ogos, 1995.
Mataim Bakar,
1995. “Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Dwibahasa Negara Brunei
Darussalam”. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Kongres Bahasa Melayu
Sedunia. Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, pada 21-25 Ogos, 1995.
No comments:
Post a Comment